
Hadi berkata, acuan Islam yang dibawa PAS tidak akan meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain di negara ini.
“Percayalah bahawa hanya Islam yang sempurna, adil dan rahmat dapat menyatukan masyarakat majmuk dengan harmoni dan selamat.
“Maka inilah komitmen yang akan terus dipegang oleh PAS sebagai satu janji kepada rakyat bukan Islam. Islam mendahulukan perdamaian dan persaudaraan tanpa paksaan dalam beragama walaupun Islam berkuasa sepenuhnya.
“Islam mewajibkan pemerintahan untuk bersikap adil kepada semua. Islam mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa yang diizinkan agama mereka, dan Islam menyuruh umatnya menjaga sensitiviti bukan Islam,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS ke-71 di Kompleks PAS Kedah.
Dalam ucapannya juga, Hadi meminta ahli PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Lajnah Perpaduan Nasional dan dakwah supaya berusaha menembusi kawasan majoriti bukan Islam dan menarik sokongan pengundi penentu di kawasan majoriti Islam untuk menyokong parti itu.
“Pendekatan ini mesti disusun rapi dan berimpak tinggi, sama ada melalui keterlibatan dalam kerajaan negeri, ataupun membuktikan jaminan hak beragama kepada bukan Islam tidak akan tergugat bawah kepimpinan PAS,” katanya.
Kata Hadi, PAS juga komited memperbetulkan kesilapan kerajaan terdahulu melalui penyatuan umat, termasuk menyatukan parti-parti Melayu yang sebelum ini berpecah.
Tambahnya, PAS turut bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang menunjukkan keikhlasan dalam usaha mencari penyelesaian dan kembali kepada Islam.