
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata bagi mengelakkan akar umbi terus tertanya-tanya mengenai masa depan parti, Muhyiddin perlu segera menamakan pengganti dan pada masa sama mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang mencetuskan masalah.

“Muhyiddin perlu segera umumkan sama ada Timbalan Presiden Hamzah Zainudin atau Setiausaha Agung Azmin Ali yang bakal mengganti beliau bagi mengelakkan akar umbi terus tertanya-tanya.
“Kegagalan menamakan pengganti akan membawa lebih banyak kegelapan dalam kalangan akar umbi yang makin hilang arah hala di kaca mata mereka sendiri mahupun orang luar,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, Muhyiddin juga perlu mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli yang mencetuskan masalah tanpa pilih kasih kerana masalah ‘seorang dua’ boleh menjadi wabak yang menjejaskan kepercayaan terhadap parti itu.
Semalam, Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin mendakwa Bersatu kini dilanda penyakit kronik yang memerlukan ubat bagi mengelakkannya melarat, susulan perbalahan dalam mempertahankan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), minggu lalu.
Katanya, sewaktu Bersatu baharu ditubuhkan dengan hanya ada tiga wakil rakyat iaitu seorang Ahli Parlimen Muhyiddin dan dua Adun, Mukhriz Mahathir dan Shahrudin Salleh, ahlinya bersama mempertahankan keputusan parti.
“Sekarang Bersatu ada lebih 90 wakil rakyat. Tapi berbalah dalam hal mempertahankan keputusan PAT,” katanya.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata isu dibangkitkan Marzuki itu sangat penting kerana ia membuka ruang wacana mengenai realiti sebenar krisis dalaman Bersatu.
Katanya, istilah ‘penyakit kronik’ membawa maksud bahawa krisis yang berlaku bukan sekadar masalah sementara, tetapi berpotensi menjejaskan jangka hayat politik parti sekiranya tidak dirawat dengan segera dan menyeluruh.
“Sebagai presiden dan figura paling dominan, Muhyiddin berdepan dilema besar. Beliau perlu bertindak segera dan berani buat keputusan dan tindakan tegas sebagai ‘pengubat’ dengan memperkukuh disiplin parti.
“Beliau juga perlu mendengar keluhan akar umbi, serta mewujudkan mekanisme penyelesaian konflik yang lebih telus,” katanya.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata Muhyiddin perlu segera mengurus masalah dalaman akibat rasa tidak puas hati dalam kalangan segelintir akar umbi yang mungkin sudah lama wujud.
“Tidak boleh senang-senang salahkan seorang dua. Mereka sudah pasti ada ketidakpuasan yang perlu ditangani atau diberi perhatian.
“Selain itu, perlu ada pelan untuk lapisan pemimpin akan datang. Dengan cara ini Muhyiddin akan dilihat sebagai pemimpin berbesar hati dan berpandangan jauh,” katanya.