Menantu Hadi didakwa ditahan atas isu Kg Sg Baru

Menantu Hadi didakwa ditahan atas isu Kg Sg Baru

Pemuda PAS Selangor mendakwa Zaharuddin Muhammad ditahan kerana bersuara berhubung pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru.

Zaharudin Muhammad
Ketua PAS Sungai Buloh Zaharuddin Muhammad didakwa ditahan di rumahnya kira-kira 1.30 pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad didakwa ditahan berhubung pengusiran di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Pemuda PAS Selangor berkata, Zaharuddin yang juga menantu Presiden PAS, Hadi Awang, ditahan di rumahnya kira-kira 1.30 pagi tadi dan dibawa ke IPD Dang Wangi.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, mendakwa penahanan mengejut Zaharuddin disebabkan beliau lantang bersuara berhubung pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru.

“Ini kejam dan tidak berperikemanusiaan. Menangkap pendakwah di tengah malam kerana bersuara demi rakyat adalah satu bentuk ugutan yang tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan penahanan Zaharuddin.

Kekecohan tercetus di Kampung Sungai Baru Khamis lalu ketika operasi pengosongan 37 rumah teres.

Ketika sekumpulan individu mengadakan bantahan, Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman dipukul di kepala oleh objek dilemparkan seorang penunjuk perasaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dilaporkan berkata, pasukan penguat kuasa hanya melaksanakan writ milikan kosong yang dikeluarkan mahkamah ke atas 37 rumah teres itu, tetapi 14 pemilik rumah enggan mengosongkan kediaman mereka.

Polis kemudian menahan tiga suspek berhubung kejadian itu dan tujuh lagi pada Sabtu lalu. Polis berkata tujuh suspek itu bukan penduduk, tetapi pemimpin dan ahli sebuah “organisasi”.

Jumaat lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 69 tahun yang menyampaikan ucapan di Kampung Sungai Baru kerana disyaki melakukan ugutan jenayah, hasutan dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.