
Wakil mereka, Muhammad Hafis Alias, memberitahu delegasi muktamar tahunan PAS kali ini bahawa majoriti pengundi di 15 daripada 40 kerusi DUN di Pulau Pinang adalah Melayu, termasuk DUN Bayan Lepas yang katanya ‘terlepas’ ke tangan Gerakan.
Beliau menyifatkan menyerahkan DUN Bayan Lepas kepada Gerakan pada PRN lepas sebagai ‘titik hitam’.
“Kami berhasrat untuk menyatakan kepada kepimpinan untuk pertahan kerusi DUN untuk PAS. Setuju atau tak setuju kerana majoriti pengundi di situ pengundi Melayu.
“Mana mungkin orang bukan Melayu memimpin Melayu,” katanya, ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Kompleks PAS Kedah.
Hafis menepis anggapan bahawa isu calon bagi kawasan kalah tipis ‘isu peribadi’.
“Isu calon ini bukan isu peribadi. Ini isu berkaitan wakil Melayu-Islam di tempat Melayu-Islam. Kita harap pimpinan ambil kira isu Bayan Lepas. Kita harap semua 15 DUN ditandingi Melayu-Islam,” katanya.
Sambil memuji kekuatan jentera PAS di Pulau Pinang, Hafis mempersoalkan Gerakan dengan membandingkan percaturan kerusi parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu dengan kawasan yang ditandingi calon daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
“DHPP kita bertanding di kawasan India dan dan di majoriti kawasan Cina… DHPP kita lebih ‘gentle’ daripada Gerakan,” tegasnya.
Malah, PAS Pulau Pinang ‘mengadu’ kepada kepimpinan parti bahawa pengerusi PN negeri ketika ini, iaitu Presiden Gerakan Dominic Lau, “tak ambil peduli langsung tentang Adun Pulau Pinang baik PAS atau Bersatu”.
Dakwaan terhadap Lau ini menyusuli kritikan wakil ulama PAS Pulau Pinang kelmarin.
Sabtu lalu, Shafirul Rozani, dilapor berkata Lau dilihat tidak mampu mengemudi PN Pulau Pinang.
Pemuda Gerakan meluah kecewaan atas kenyataan tersebut, membidas kenyataan Shafirul sebagai melulu, kurang ajar, dan mengkhianati kepercayaan antara mereka.