
Beliau berkata perbezaan pandangan itu bukan suatu kelemahan, sebaliknya akan mengukuhkan lagi PN demi mencapai matlamat yang sama iaitu berjaya mengambil alih Putrajaya.
“Kita menghargai kepelbagaian pandangan demi mencapai matlamat yang sama iaitu membawa PN ke Putrajaya dan membentuk kerajaan yang stabil serta berintegriti.
“Perkara yang paling penting sekarang ialah kita bekerja keras untuk mendapatkan mandat rakyat terlebih dahulu. Soal calon perdana menteri boleh dibincangkan kemudian secara matang dan penuh muafakat,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata parti itu akan memilih calon perdana menteri berumur bawah 70 tahun dan sihat tubuh badan sekiranya PN berjaya menawan Putrajaya pada PRU datang.
Bagaimanapun katanya, soal siapa individu yang akan mengetuai kerajaan sekiranya gabungan pembangkang memenangi pilihan raya akan dibincangkan bersama rakan dalam PN.
Kenyataan Hadi menyusul selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada 7 Julai lalu menamakan Presidennya Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11 dari parti itu untuk PRU16. Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh kini berusia 78 tahun.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata segala keputusan mengenai isu calon perdana menteri akan diangkat dan dibincangkan secara mendalam dalam platform PN untuk diputuskan secara konsensus.
“Secara prinsip, kita hormati pandangan daripada parti komponen PN yang dibuat dalam platform rasmi parti masing-masing,” katanya.
Majlis Tertinggi PN akan membincangkan isu calon perdana menteri itu, minggu depan.