Kritik presiden: Pemuda Gerakan kecewa dengan wakil ulama PAS P Pinang

Kritik presiden: Pemuda Gerakan kecewa dengan wakil ulama PAS P Pinang

Setiausaha Agung Tan Hum Wei kata Shafirul Rozani telah melampaui batas.

Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Setiausaha Agung Pemuda Gerakan Tan Hum Wei berkata sayapnya akan pertahan Presiden Dominic Lau daripada serangan tidak berasas.
PETALING JAYA:
Pemuda Gerakan amat kecewa dengan kenyataan wakil ulama PAS Pulau Pinang pada muktamar tahunan sayap parti itu, yang mendakwa Presiden Dominic Lau gagal memimpin Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang.

Setiausaha Agung Tan Hum Wei memberi amaran bahawa jika Shafirul Rozani meneruskan serangan-serangan yang merosakkan dan berunsur fitnah, ia akan membawa kemudaratan kepada PN.

“Sesiapa sahaja yang tidak menghormati kepimpinan Gerakan tidak akan dilayan dengan baik. Setiap parti mempunyai batasnya, dan Shafirul telah melampaui batas itu,” menurut kenyataan.

Malaysiakini melaporkan Shafirul berkata Lau dilihat tidak mampu mengemudi PN Pulau Pinang, dalam ucapannya selaku perwakilan Pulau Pinang pada muktamar tahunan Ulama PAS di Alor Setar, Kedah, semalam.

Tan bagaimanapun berkata jawatan pengerusi PN Pulau Pinang ditentukan pucuk pimpinan PN, dan membidas kenyataan Shafirul sebagai melulu, kurang ajar, dan mengkhianati kepercayaan antara mereka.

“Pemuda Gerakan akan mempertahankan presiden kami daripada serangan tidak berasas. Kami tidak boleh membiarkan mana-mana sekutu menikam kami dari belakang,” katanya.

“Jika anda sengaja melemahkan perpaduan PN, anda bukan sahaja mengkhianati rakan gabungan tetapi juga memusnahkan cita-cita bersama untuk mencapai Putrajaya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.