
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata sasaran itu sukar dicapai kerana sokongan Melayu atau ‘Gelombang Hijau’ semakin reda dan PAS juga masih gagal menarik sokongan bukan Melayu.

“Saya rasa secara realistiknya, PAS boleh kekalkan 40 hingga 50 kerusi. Kalau mereka lebih agresif berkempen mungkin boleh capai 60 kerusi.
“Tetapi saya rasa 80 kerusi itu agak optimistik, kecuali kalau betul-betul ada protes besar-besaran terhadap kerajaan sekarang,” katanya kepada FMT.
Sabtu lalu, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata parti itu menyasarkan untuk memenangi 80 kerusi Parlimen pada PRU16 dengan mengambil kira kedudukan semasa parti yang kini memiliki 43 kerusi.
Menurutnya, sasaran itu tidak mustahil dicapai jika strategi tepat digunakan.
Mengulas lanjut Syaza berkata untuk meraih lebih banyak kerusi PAS perlu menarik sokongan pengundi bukan Melayu, terutama di negeri bercampur seperti Selangor dan Perak.
“Kalau mengharapkan pengundi Melayu konservatif mustahil untuk PAS capai angka 80. PAS perlu keluar daripada kerangka lama dan bersikap lebih inklusif untuk menarik pengundi bukan Melayu.
“Kalau nak tarik pengundi di kerusi bukan kawasan tradisi mereka, PAS perlu buktikan keupayaan mentadbir terutama dalam sudut ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara pula berpendapat PAS perlu dilengkapi dengan idea dan naratif yang lebih segar untuk mencapai sasaran 80 kerusi Parlimen.
Katanya, dalam konteks saingan di kerusi majoriti Melayu, PAS juga perlu memuktamadkan formula pembahagian kerusi yang harmoni bersama Bersatu – rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).
“PAS jangan terlalu berharap dengan serangan bersifat keperibadian kerana apa yang pengundi mahu lihat adalah idea dan hujah yang bernas.
“Apa yang paling penting apakah yang PAS boleh tawarkan jika parti itu berjaya membentuk kerajaan,” katanya.