
“Saya difahamkan Jawatankuasa Usul Muktamar PAS Pusat meluluskan untuk ia dibahaskan dalam muktamar PAS Pusat,” kata Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah di tepian Muktamar Tahunan Muslimat PAS kali ke-65.
Afnan turut merakamkan penghargaan kepada Mursyidul Am Hashim Jasin, kerana menyokong usul sayap Pemuda itu.
“Kita cadang sahaja sebab kita asasnya. Kita ada kerusi yang banyak dalam PN,” katanya.
“Saya rasa tak salah kalau kita PAS mencadangkan dan saya rasa rakan-rakan Bersatu pun boleh menerima. Bersatu pun ada cadangan mereka.”
Perbezaan bukan perpecahan
Afnan menegaskan perbezaan antara parti-parti dalam gabungan pembangkang, termasuk usul ini dan cadangan Bersatu mengenai calon perdana menteri bukan petanda perpecahan.
Sebaliknya, ia mencerminkan proses meraikan pandangan yang akhirnya akan dimuktamadkan secara konsensus antara pimpinan PN.
“PN semua sama. Semua berhak mencadangkan. Ini menunjukkan demokrasi dalam PN. Inilah saya rasa pilihan yang rakyat patut pilih,” katanya.
Pemuda PAS meluluskan usul agar parti itu memimpin gabungan PN dan menerajui kepimpinan utama negara, melalui muktamar sayap itu pada Jumaat.