
Felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan, berkata pemimpin berpengaruh seperti Donald Trump, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri China Li Qiang membuka ruang penting kepada Malaysia dan Asean.
Beliau mengingatkan tiga negara itu “penyebab kemelut global dan mereka adalah penyelesaian kepada isu global termasuk Gaza.”
“Kehadiran mereka tak boleh dijadikan modal politik dalaman,” katanya kepada FMT.
Pada 9 Sept lalu, Berita Harian melaporkan bahawa Trump dan Li akan melawat Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, yang dijadual berlangsung di ibu negara pada Oktober, manakala Putin sedang mempertimbang secara serius.
Kelmarin, Pemuda PAS mengumumkan ia akan mengerakkan kempen menolak kehadiran Trump sebagai bantahan terhadap sokongan kepada kekejaman rejim Israel terhadap penduduk Palestin.
“Saya pasti sidang kemuncak Asean akan timbulkan hal ini. Kita kena lihat jauh berbanding nak menghalang Trump datang Malaysia,” kata Azmi.
“Kalau guna cara betul maka boleh kita kendurkan ketegasan Trump sokong lsrael kerana beliau berseorangan di sidang kemuncak Asean dalam hal Gaza.”
Sementara itu, penganalisis di UniKL Business School mengulas dari segi ekonomi dan meragui kempen Pemuda PAS itu akan mengubah dasar perdagangan Washington.
“Walaupun Trump ini susah nak dibaca tapi tak rasa ini cukup untuk ubah tarif kecuali kerajaan sendiri yang tolak Trump secara terbuka,” kata Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.
Beliau juga berkata isu ekonomi tidak wajar dipolitikkan.