
Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin itu merujuk kepada perbalahan dalam mempertahankan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), minggu lalu.

Dalam hantaran di Facebook itu, beliau berkata sewaktu Bersatu baharu ditubuhkan dengan hanya ada tiga wakil rakyat iaitu seorang Ahli Parlimen Muhyiddin Yassin dan dua Adun Mukhriz Mahathir dan Shahrudin Salleh, ahlinya bersama mempertahankan keputusan parti.
Menurutnya, ia termasuk keputusan menjadikan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri ke-7 oleh Muhyiddin walaupun ada berpandangan Ahli Parlimen Pagoh itu dianggap ‘PM Material’.
Jelasnya, Muhyiddin dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mempertahankan keputusan Bersatu itu dan selepas PRU14, Dr Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua.
“Sekarang Bersatu ada lebih 90 wakil rakyat. Tapi berbalah dalam hal mempertahankan keputusan PAT.
“Ada penyakit kronik sedang melanda Bersatu. Penyakit ini mungkin kena pada seorang dua saja. Tapi kalau tak dicari ubat, nanti melarat,” katanya.
Minggu lalu, PAT Bersatu memutuskan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 dari parti itu.
Namun berlaku kekecohan apabila Muhyiddin dalam ucapan perasmian PAT pada Sabtu minggu lalu mendedahkan ada pihak mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya.
Sekumpulan kecil perwakilan kemudian mendesaknya berundur, manakala majoriti melaungkan ‘hidup Tan Sri’ sebagai tanda sokongan.
Sehari selepas insiden itu, Timbalan Presiden Hamzah Zainudin menyatakan ikrar taat setia kepada Muhyiddin, yang diumumkan Bersatu sebagai calon perdana menteri ke-11.