
Sekelip mata, wanita berusia 45 tahun itu menjadi tulang belakang tunggal untuk empat cahaya mata yang masih kecil, masing-masing berusia antara enam hingga 13 tahun.
Dalam tempoh iddah yang penuh ujian, Nursuhana tidak mahu terus meratapi kehilangan itu sebaliknya mencari ikhtiar untuk memastikan dapur terus berasap.
Berbekalkan bantuan penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100, lahirlah idea menjual aiskrim Malaysia – pencuci mulut ringkas tetapi sentiasa menjadi kegemaran ramai.

“Saya beli susu pekat dan susu segar untuk buat aiskrim pelbagai perisa.
“Bantuan itu mungkin tidak banyak, tapi kalau kita bijak guna, ia boleh jadi modal kecil untuk tambah pendapatan,” katanya kepada FMT.

Aiskrim buatan tangan Nursuhana kini dijual pada harga serendah RM1 hingga RM1.50 sebatang. Selain dijual di rumah di Kepong, dia juga menghantarnya ke sebuah stesen minyak berhampiran – usaha kecil yang kini menjadi punca rezeki keluarga.
Bagi Nursuhana, setiap sen yang diperoleh amat bermakna.
“Sekurang-kurangnya ada sumber untuk tampung perbelanjaan anak-anak sehingga tempoh iddah tamat,” katanya yang turut memberitahu suaminya sebelum ini mendapat Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengagihan RM100 sekali beri kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bawah program SARA.
Bantuan itu boleh ditebus hingga 31 Disember ini untuk membeli barangan keperluan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar.
Bagi sesetengah orang, RM100 mungkin tidak seberapa. Tetapi bagi Nursuhana, ia menjadi titik tolak untuk bangkit semula, demi masa depan empat anak yang kini bergantung sepenuhnya kepadanya.