
Beliau memberi contoh bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mampu memimpin dengan baik biarpun tidak mempunyai latar belakang pentadbiran.
“Jangan kita rasa rendah diri, merasakan dalam kalangan kita tak layak jadi perdana menteri. Malu kepada orang — kita ada 43 Ahli Parlimen, seorang pun tak mampu jadi PM?
“Syarat jadi PM ini jangan gila, itu sahaja. Kalau gila, masalah besar. Selagi lantik mereka yang waras dengan berpandukan Islam, insya-Allah kita boleh bawa Malaysia lebih baik daripada yang ada hari ini,” katanya berucap merasmikan Muktamar Muslimat PAS ke-65 di Kompleks PAS Kedah.
Dalam pada itu, PAS perlu memanfaatkan peluang meningkatkan sokongan bukan Melayu daripada lonjakan penolakan pengundi itu terhadap Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan perpaduan hari ini.
Menurutnya, kritikan pengundi bukan Melayu yang semakin lantang, khususnya pengundi Cina memberi potensi besar kepada pembangkang menarik sokongan.
“Ketika ini ia bukan sesuatu yang pelik untuk bukan Melayu secara terbuka meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap PH berbanding dua tahun dulu ketika ia berada di puncak.
“Sejak tiga tahun mereka mentadbir bersama Barisan Nasional dan Umno di bawah kerajaan perpaduan, kritikan itu semakin lantang.
“Ini adalah potensi besar kepada pembangkang termasuk PAS mengambil peluang. Kita perlu memanfaatkan peluang ini untuk menarik sokongan bukan Melayu,” katanya.