PAS cadang Tamil, Mandarin diajar di sekolah kebangsaan

PAS cadang Tamil, Mandarin diajar di sekolah kebangsaan

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata belajar bahasa itu mampu pupuk persefahaman lebih baik.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata partinya menyokong kewujudan sekolah Cina dan Tamil, menyifatkan bahasa sebagai sebahagian penting identiti budaya.
SUNGAI PETANI:
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan bahasa Tamil dan Mandarin diperkenalkan sebagai subjek di sekolah kebangsaan bagi membantu memperkukuhkan kesatuan antara kaum.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata halangan bahasa sering kali menimbulkan syak wasangka antara masyarakat, namun mempelajari bahasa masing-masing mampu memupuk persefahaman lebih baik.

“Orang Melayu mungkin bila Cina sama Cina cakap, dia tak faham. Dia mungkin rasa curiga…India sama India bercakap, mungkin orang Melayu tak faham.”

“Boleh tak kalau kita perkenalkan mata pelajaran bahasa Tamil, bahasa Cina di sekolah kebangsaan. Yang anak-anak boleh belajar dan mereka boleh faham,” katanya berucap pada majlis perasmian kongres Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), di Dewan Gandhi.

Beliau berkata, bahasa Melayu juga mesti diperkukuh sebagai bahasa kebangsaan, sambil memberi amaran bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya sampai ke tahap di mana mereka tidak dapat memahami lagu kebangsaan atau bertutur bahasa Melayu asas.

Tuan Ibrahim menolak dakwaan PAS atau Perikatan Nasional (PN) akan mengenakan undang-undang Islam ke atas orang bukan Islam jika mereka berkuasa, sambil menegaskan mereka menghormati kebebasan beragama.

Beliau berkata, PAS menyokong kewujudan sekolah Cina dan Tamil, menyifatkan bahasa sebagai sebahagian penting identiti budaya.

Beliau juga menyeru sayap penyokong PAS untuk meningkatkan keahliannya daripada 68,000 sekarang, sambil menambah ahlinya suatu hari nanti boleh diketengahkan sebagai calon pilihan raya.

“Tidak mustahil kita akan menyaksikan DHPP akan ada wakil rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.