Polis buka kertas siasatan video tular aksi bahaya kanak-kanak

Polis buka kertas siasatan video tular aksi bahaya kanak-kanak

Video berdurasi 49 saat yang tular semalam menunjukkan seorang kanak-kanak menjenguk keluar tingkap kereta, dalam kejadian di Kota Tinggi.

Yusof Othman
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, menurut Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan susulan satu video tular semalam yang menunjukkan aksi bahaya seorang kanak-kanak menjenguk keluar tingkap kereta, dalam kejadian di Kota Tinggi.

Ketua Polis Kota Tinggi, Yusof Othman, berkata pihaknya mengesan video tular itu dimuat naik di aplikasi X, kira-kira 1.50 hingga 2 petang.

Katanya, video itu menunjukkan seorang kanak-kanak menjenguk keluar tingkap ketika sebuah Perodua Bezza berwarna hitam dipandu di kawasan berkenaan.

“Polis maklum mengenai kejadian itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Harian Metro.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 49 saat memaparkan kereta sedang bergerak dengan dua kanak-kanak kecil keluarkan kepala di bahagian tingkap di belakang tempat duduk pemandu.

Video tersebut juga menunjukkan had kelajuan ketika itu 85 kilometer sejam dan pemilik video berkenaan membunyikan hon, namun tiada tindakan.

Pemilik video berkenaan juga menegur pemandu dan pemandu menerima teguran dengan menyatakan isterinya menjaga dua anak kecil itu di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.