PM setuju pertimbang tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak, kata Fadillah

PM setuju pertimbang tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak, kata Fadillah

Dalam mesyuarat pelaksanaan MA63 di Kuching, timbalan perdana menteri juga menyebut pindaan Perlembagaan bagi pelantikan hakim libat dua negeri itu.

Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara prinsip setuju mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, namun tertakluk rundingan lanjut dan kajian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata perkara itu dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) hari ini, dipengerusikan Anwar.

“Berhubung kait kerusi Parlimen akan diperincikan lebih lanjut lagi…secara prinsip yang dipersetujui tadi Yang Amat Berhormat perdana menteri mengatakan bahawa perkara ini boleh dipertimbangkan tapi tertakluk perundingan dan perincian seterusnya,” katanya menurut Bernama di Kuching.

Mesyuarat turut dihadiri Premier Sarawak Abang Johari Openg serta Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, berkata sebarang pindaan melibatkan kerusi Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Fadillah berkata, mesyuarat berkenaan turut bersetuju supaya pelantikan semua hakim melibatkan Sabah dan Sarawak memerlukan konsultasi rasmi dengan Yang Dipertua Negeri masing-masing dan pindaan Perlembagaan akan dilaksanakan bagi mengiktiraf proses itu.

“Sekarang ini sudah dilaksanakan secara pentadbiran iaitu apa-apa pelantikan yang melibatkan hakim-hakim Sabah dan Sarawak ia kena dirujuk kepada TYT (Tuan Yang Terutama) Sabah dan TYT Sarawak…pindaan Perlembagaan akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut sepakat untuk meminda Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan berhubung pengurusan sisa buangan terjadual yang akan dibentangkan di Parlimen pada Disember bagi memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak menguruskan isu alam sekitar di negeri masing-masing.

Dalam hal pelancongan pula, katanya, jawatankuasa teknikal akan memperincikan cadangan pindaan perlembagaan selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mendapatkan pandangan semua negeri.

“Kita masih melihat dari segi konteks pindaan kepada Perlembagaan, jadi jawatankuasa teknikal akan memperincikan lagi seperti yang diputuskan tadi…Motac perlu libat urus dengan seluruh negeri di Malaysia berhubung kait dengan perkara itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.