Persoal calon PM petanda rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan, kata PAS

Persoal calon PM petanda rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan, kata PAS

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN tidak ketandusan calon perdana menteri dan yakin gabungan itu akan menerajui negara selepas PRU16.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim
Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-66 di Kompleks PAS Kedah.
ALOR SETAR:
PAS menyifatkan tindakan pihak mempersoalkan siapa calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) jika gabungan itu merampas Putrajaya sebagai petanda rakyat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan hari ini.

Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PN tidak ketandusan calon perdana menteri dan yakin gabungan itu akan bangkit menerajui negara selepas PRU16.

“Hari ini orang mula bincang siapa bakal perdana menteri (daripada PN), kenapa ramai tanya siapa yang akan jadi perdana menteri? Ramai yang tanya PAS siapa tokoh PM?

“Kenapa mereka tanya kami? Kenapa mereka tanya PN? Kerana mereka hilang kepercayaan dengan menteri yang ada, mereka tak yakin dengan PM, rakyat mencari tokoh baru yang akan menerajui kerajaan, insya-Allah PN akan bangkit menerajui negara pada PRU16 nanti,” katanya berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-66 di Kompleks PAS Kedah.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim berpandangan tiada keperluan untuk PAS mengusulkan cadangan calon perdana menteri ke-11 pada muktamarnya kerana waktu sekarang bukan masa sesuai membincangkan soal siapa bakal menjawat jawatan itu.

Perkembangan itu hadir susulan langkah Bersatu menamakan Presiden mereka, Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri pada Perhimpunan Agung Tahunan parti itu baru-baru ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata usul yang mewakili ahli parti itu wajar dihormati sebagai hak dan kehendak mereka, dan ia akan dibawa ke Majlis Presiden PN untuk diputuskan secara konsensus.

‘PAS For All’ bukan teori kosong

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata agenda ‘PAS For All’ bukan teori kosong, sebaliknya telah dipraktikkan di empat negeri ditadbir parti itu, di mana orang bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan, budaya dan cara hidup mereka tanpa sebarang halangan atau sekatan.

“Islam tidak pernah bertindak zalim kepada bangsa lain kerana agama adalah hak dan pilihan masing-masing.

“Lihat bagaimana mereka bebas makan apa yang mereka, nak makan yang dibenarkan oleh agama mereka. Lihat bagaimana mereka bebas mengamalkan budaya dan adat mereka tanpa ada halangan, sekatan di negeri ditadbir PAS, PN.”

Beliau turut menepis dakwaan PAS gagal memenangi banyak kerusi kerana menamakan parti itu dengan nama Islam.

“Kita namakan parti kita dengan nama Islam untuk beritahu kita tak bohong kepada rakyat. Kita bawa agenda Islam yang Allah pandukan kita, agenda untuk menyelamatkan negara tanpa mengira kaum dan bangsa kerana bangsa, kaum, warna kulit bukan pilihan kita, tapi pilihan Allah.

“Allah ciptakan Cina, India, Iban, Kadazan. Manusia dicipta dengan pelbagai kaum, bangsa dan warna kulit untuk saling mengenali, bukan untuk merasakan diri mulia, rasa hebat.”

Selain perpaduan antara kaum dan agama, katanya, PAS turut menawarkan keadilan dari sudut ekonomi kepada rakyat.

“Tiada makna kita uar-uarkan negara kita mendapat pelaburan berbilion-bilion ringgit sedangkan subsidi rakyat perlu dicatu.

“Tiada makna kita isytihar kepada dunia pelabur berduyun-duyun datang ke negara kita, lawatan demi lawatan menyaksikan bagaimana pelbagai MoU ditandatangani, namun hakikatnya, rakyat di bawah merasai bagaimana susahnya, sempitnya dan besarnya jurang ekonomi yang semakin hari semakin lebar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.