‘Bukankah pengambilan tanah ketika kamu berkuasa’, PAS dibidas

‘Bukankah pengambilan tanah ketika kamu berkuasa’, PAS dibidas

Pemimpin PH berkata ketua Pemuda PAS hanya menafikan fakta sedangkan proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru bermula ketika PN memerintah.

Suzilme Affendy Sulaiman
Semalam, Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman cedera dilontar batu ketika berdepan penduduk dalam operasi di Kampung Sungai Baru. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Pemuda Pakatan Harapan membidas Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi yang didakwa cuba mempolitikkan kekecohan di Kampung Sungai Baru dengan mengaitkannya dengan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Ketuanya, Woo Kah Leong, berkata tindakan itu hanya bermotifkan politik semata-mata dan menafikan fakta, sedangkan proses pengambilan tanah kampung berkenaan bermula ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah.

Katanya, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga sebelum ini pernah menegaskan pihak terlibat dalam pengambilan tanah semasa pentadbiran PN perlu memberikan penjelasan kepada rakyat.

Woo Kah Leong.

“Pengambilan tanah tersebut telah diwartakan pada 21 Jun 2021 bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960), iaitu ketika PN memegang tampuk kuasa dan juga menjawat portfolio menteri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Afnan berkata Kampung Sungai Baru bukan sekadar isu lokal, tetapi gambaran awal nasib seluruh rakyat jika RUU itu diluluskan kelak.

Menurut Afnan, pemaju secara tergesa-gesa menghalau penduduk sedangkan tarikh rayuan mereka hanya dijadualkan pada 3 Okt ini.

“Inilah realiti yang akan menjadi lebih parah sekiranya RUU PSB diluluskan. Kuasa penuh akan terletak di tangan pemaju, manakala rakyat akan hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Woo mendakwa Afnan tidak menunjukkan simpati terhadap Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman yang cedera dilontar batu ketika mengawal operasi pengosongan bangunan.

“Pemuda PAS diingatkan tidak memutarbelitkan fakta dan mengeruhkan keadaan untuk menutup kegagalan mereka semasa menjadi kerajaan.

“Politik fitnah sebegini hanya akan merosakkan perpaduan masyarakat serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.