Kempen tolak Trump ke Malaysia akan digerak, tegas Afnan

Kempen tolak Trump ke Malaysia akan digerak, tegas Afnan

Pemuda PAS mahu hantar mesej kepada presiden AS bukan semua rakyat negara ini mengalukan kehadirannya, terutama sokongannya ke atas Israel.

Trump Scotland
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata kempen itu akan digerakkan segera sehingga menjelang kehadiran Donald Trump bulan depan. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata sayapnya akan menggerakkan kempen menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke negara ini sempena Sidang Kemuncak Asean, pada Oktober.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, berkata bantahan ke atas kunjungan Trump itu perlu bagi memberi amaran bukan semua rakyat negara ini menerima kehadirannya.

Katanya, kempen itu perlu digerakkan segera sehingga menjelang kehadiran Trump sebagai bantahan terhadap sokongan pemimpin itu terhadap kekejaman rejim Israel terhadap penduduk Palestin.

“Kita dah bagi arahan. Jadi, untuk setiap negeri, setiap kawasan, mula memberi mesej itu (bantah kehadiran Trump). Sebab dia (Trump) kena dapat mesej.

“Dia tak boleh rasa semua orang terima dia. Dia kena tahu apa yang dia buat ni, melanggar perikemanusiaan. Jadi, mesej itu kita kena sampaikan dekat dia. Takkan nak bagi mesej itu pun tak boleh,” katanya pada sidang media di Alor Setar.

Sebelum itu, Pemuda PAS sebulat suara menyokong usul membantah kehadiran Trump ke Malaysia sebagai tanda menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Usul dikemukakan Perwakilan Pemuda PAS Kuala Terengganu, Abdul Rahman Che Mat pada Muktamar Dewan Pemuda PAS yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar.

Dalam usul berkenaan, Pemuda PAS dicadang menganjurkan bantahan bermula peringkat negeri dan seterusnya di peringkat nasional bersama demonstrasi besar-besaran.

Pada hujung Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Trump akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean, susulan panggilan telefon antara duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.