Hukuman penjara 30 tahun anggota Rela bunuh bekas ketua bahagian MCA Marang kekal

Hukuman penjara 30 tahun anggota Rela bunuh bekas ketua bahagian MCA Marang kekal

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ong Chow Lee dengan alasan isu yang dibangkitkan perayu tidak berasas.

ong chow lee
Menurut laporan sebelum ini, Ong Chow Lee melepaskan tembakan selepas berlaku perselisihan faham, menyebabkan Fong Swee Fuan maut manakala Teo Hock Beng, 48, cedera di tangan kiri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap seorang bekas anggota Rela kerana membunuh sahabat baiknya pada 2021.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Hashim Hamzah, Azmi Ariffin dan Firuz Jaffril menolak rayuan Ong Chow Lee terhadap sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sebelum ini.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 27 Ogos, mahkamah itu turut mengekalkan hukuman penjara 13 tahun terhadap Ong kerana cubaan membunuh anak saudara mangsa.

Kedua-dua hukuman tersebut diperintah berjalan serentak.

Kesalahan itu dilakukan di belakang sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang, Terengganu, antara jam 1.20 tengah hari dan 1.55 tengah hari pada 23 Julai 2021.

Menurut laporan sebelum ini, mangsa, Fong Swee Fuan, 65, merupakan bekas ketua bahagian MCA Marang.

Ong, 61, melepaskan tembakan selepas berlaku perselisihan faham, menyebabkan Fong terbunuh manakala Teo Hock Beng, 48, cedera di tangan kiri.

Dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Julai tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun serta 13 tahun, yang berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 23 Julai 2021.

Ketika rayuan, Ong memohon Mahkamah Rayuan mengembalikan kesnya ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula dengan alasan ‘dipengaruhi’ oleh bekas peguamnya untuk mengaku bersalah kerana percaya hanya akan menerima hukuman penjara 15 tahun.

Namun, hukuman minimum bagi kesalahan membunuh adalah 30 tahun.

Ong juga mendakwa dia buta huruf dan berkata mahkamah sepatutnya menyediakan jurubahasa Mandarin ketika prosiding di Mahkamah Tinggi kerana dia tidak memahami sepenuhnya akibat pengakuan bersalah itu kerana kekangan bahasa.

Dalam alasan penghakiman, Hashim memutuskan bahawa isu-isu yang dibangkitkan Ong tidak berasas.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi mengesahkan dengan Ong dan peguamnya bahawa Ong memahami bahasa Malaysia, dan berdasarkan keterangan, tiada tanda menunjukkan dia tidak memahami sifat serta akibat daripada pengakuan bersalahnya.

Mahkamah juga mendapati Ong mengakui fakta kes, mengenal pasti barang kes pendakwaan, dan diwakili oleh tiga peguam semasa rakaman pengakuan.

“Kami sebulat suara mendapati rayuan ini tidak mempunyai merit, dan sabitan terhadap perayu adalah selamat. Hukuman penjara yang dijatuhkan juga adalah minimum sebagaimana diperuntukkan undang-undang,” kata Hashim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.