
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan di lokasi kejadian yang terletak di kawasan pedalaman serta hutan. Namun, liputan internet yang terhad ketika itu menimbulkan masalah komunikasi kepada pasukan keselamatan dan media.
Mengambil iktibar daripadanya, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pada 7 Sept lalu menegaskan keperluan memiliki Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) sebagai penyelesaian terhadap isu komunikasi di kawasan bencana.
Dilancarkan pada 16 Jun lalu oleh Fahmi, PRIME menjadi inisiatif strategik untuk menyediakan kemudahan komunikasi moden khusus di kawasan terjejas akibat bencana alam, zon kecemasan atau lokasi tanpa infrastruktur komunikasi sedia ada, terutama di luar bandar.
Inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu turut membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi lain memastikan operasi bencana dapat dijalankan dengan capaian komunikasi yang lebih baik.
Pada 7 Sept lalu, kerajaan turut memperluaskan PRIME ke Sabah, dengan pelancarannya turut disempurnakan Fahmi di Tawau. Pemasangan unit di Sarawak pula dijangka siap bulan depan.
PRIME menggabungkan teknologi terkini
Dalam dokumen soalan lazim (FAQ) berhubung PRIME, SKMM menjelaskan sistem itu menggunakan gabungan teknologi moden termasuk komunikasi satelit, rangkaian selular mudah alih, radio dua hala, hotspot Wi-Fi serta sokongan dron untuk memperluaskan liputan di kawasan kritikal.
“PRIME diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan komunikasi dalam situasi genting.
“Ia membantu menyelaras agensi penyelamat, pasukan penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan keberkesanan misi menyelamat serta penyampaian maklumat kepada masyarakat,” menurut kenyataan SKMM.
Dengan gabungan teknologi itu, PRIME menjadi sistem komunikasi sokongan yang fleksibel, mudah alih dan bersepadu.
Lebih daripada sekadar kecemasan
Namun, kelebihan PRIME bersifat serampang dua mata kerana tidak terhad kepada situasi bencana semata-mata.
SKMM menjelaskan ia turut menyokong program jangkauan dan literasi digital di luar bandar, sebagai sebahagian strategi meningkatkan ekonomi komuniti melalui pemerkasaan platform dalam talian.
“Inisiatif ini juga berperanan menyokong Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta mengukuhkan komunikasi semasa acara berskala besar yang memerlukan sistem tambahan,” menurut SKMM.