SARA rancakkan perniagaan runcit, bantu orang kampung berbelanja

SARA rancakkan perniagaan runcit, bantu orang kampung berbelanja

Pengurus Warisan Daily Mart Tan Jern Ai berkata tiga cawangan di Wakaf Bharu dan Tumpat diuruskannya menerima lonjakkan pelanggan sejak 31 Ogos lalu.

sara my kasih sumbangan asas rahmah
Lebih 7,300 premis runcit berdaftar di bawah MyKasih yang memudahkan orang ramai termasuk di kampung menebus penghargaan SARA RM100. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) termasuk bantuan RM100 sekali beri sempena Hari Kebangsaan membantu menghidupkan kembali perniagaan runcit kecil di kampung serta pedalaman, menurut peserta inisiatif itu.

Pengurus Warisan Daily Mart Tan Jern Ai berkata tiga cawangan di Wakaf Bharu dan Tumpat yang diuruskannya menerima lonjakan pelanggan selepas orang ramai boleh menebus barangan menggunakan bantuan disalurkan menerusi MyKad sejak 31 Ogos lalu.

“Penghargaan SARA membantu perniagaan kerana pelanggan datang berbelanja, menyokong peruncit kecil seperti kami yang berdaftar dengan MyKasih.

“Namun saya harap program ini ditambah baik contoh dengan meningkatkan lagi kapasiti sistem dan menambah barangan boleh ditebus,” katanya kepada FMT.

Pemilik Tasnim Trading Nik Mohd Zamri Nik Abdullah pula menyifatkan SARA memberi kesan serampang dua mata dengan manfaatnya dirasai pengguna dan peniaga kecil sepertinya.

Menurut peniaga dari Jeli, Kelantan itu, pemilihan lebih banyak premis di kampung dan pedalaman membantu penduduk menebus barangan tanpa perlu ke bandar.

“Mudah untuk mereka beli barang dan kami pula dapat tingkat jualan, jadi situasi menang-menang.

“Awal-awal memang sukar sebab sistem tak stabil tetapi sekarang semuanya berjalan lancar,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengagihan RM100 secara sekali beri kepada setiap rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bawah program SARA, memberi manfaat kepada 22 juta orang dengan peruntukan RM2 bilion.

Pembelian menggunakan pemberian kredit melalui MyKad itu terpakai untuk barangan keperluan berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Kredit RM100 bawah penghargaan SARA boleh digunakan hingga 31 Dis tahun ini di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.