
Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, walaupun Bersatu kelihatan berdepan kemelut dalaman, ia tetap dilihat mempunyai lebih ramai calon untuk jawatan eksekutif tertinggi negara itu.
“Tidak kira betapa ‘panas’ keadaan dalam Bersatu, ia masih mempunyai lebih ramai calon perdana menteri berbanding PAS. Sebab itulah PAS tidak menamakan calon secara rasmi – kerana mereka tiada calon sesuai,” katanya kepada FMT.
Sebaliknya, Bersatu mempunyai dua calon berpotensi, iaitu Presidennya, Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Hamzah Zainudin.
Azmi berkata, individu yang mungkin boleh dinamakan PAS dibelenggu isu rumit.
“Tindakan mencalonkan Presiden PAS, Hadi Awang pasti menyebabkan ramai penyokong tidak puas hati penyokong.”
Menurutnya, kepimpinan PAS tidak mungkin menamakan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon memandangkan beliau bukan dari kalangan ulama parti itu.
“(Penyokong PAS) tidak akan berpuas hati dengan pencalonan seperti itu,” katanya yang turut menolak Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor kerana “terlalu retorik” dan tidak memiliki ketokohan sebagai PM.
Azmi mendakwa masalah sebenar adalah isu struktur.
“Walaupun ada kemelut dalam Bersatu dan tidak kira betapa stabil PAS ketika ini, isunya adalah PAS tidak mempunyai calon sesuai. Bersatu memang sudah tahu perkara ini.”
Pada perhimpunan agung 7 Sept lalu, Bersatu mengumumkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.
Susulan itu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS menegur parti sekutunya tidak terlalu ‘ghairah’ membuat keputusan politik penting bersendirian atas nama Perikatan Nasional (PN), termasuk berkaitan calon perdana menteri.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu FMT, tiada sebab untuk PN tergesa-gesa menamakan calonnya, sebaliknya ia patut mengukuhkan jentera pilihan raya serta menangani keperluan rakyat.
Kestabilan PAS berbanding kemelut Bersatu
Walaupun PAS menunjukkan kestabilan di peringkat tertinggi, pengaruh Muhyiddin dalam partinya kelihatan semakin lemah, dengan desakan terbuka supaya beliau meletak jawatan dan kempen tandatangan mendesak peralihan kepimpinan.
Penganaslisi politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, perbezaan itu membolehkan PAS menampakkan imej moral lebih positif dalam PN.
“PAS boleh berhujah Muhyiddin mewakili tokoh sementara yang semakin hilang kawalan dalam Bersatu, sebaliknya PAS mempunyai jentera berdisiplin, akar umbi kuat dan penyatuan ideologi lebih jelas,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, jika Muhyiddin dianggap sudah melepasi kemuncaknya, PAS boleh merampas peluang yang ada.
“Seorang pemimpin dari PAS, sama ada Hadi secara simbolik atau tokoh lebih muda seperti Tuan Ibrahim atau Samsuri, mampu menjadi wajah baharu PN menuju PRU16.”
Lebih berkuasa, namun pilihan terhad
Ahli sains politik, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, keretakan dalam Bersatu akan memberikan PAS kelebihan di meja rundingan.
“Dalam pada Bersatu kelihatan berpecah, PAS kekal terkawal dan stabil.
“PAS sudah mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen. Ini mengukuhkan lagi kedudukan PAS sebagai parti lebih besar dan lebih baik dalam PN, walaupun Muhyiddin masih pengerusi gabungan itu,” katanya kepada FMT.
Bersatu mempunyai 25 Ahli Parlimen, manakala PAS memiliki 43 orang.
Namun, Syaza mengingatkan PAS mungkin akhirnya menyasarkan kerusi perdana menteri.
“Saya tidak rasa PAS secara serius mahu meletakkan calonnya sendiri sebagai calon PM, tetapi mereka perlu menunjukkan kekuatan dan tidak sekadar kelihatan seperti komponen junior.
“Jika begitu, saya syak mereka akan memilih seseorang yang lebih disenangi seperti Samsuri, walaupun beliau akan berdepan cabaran.”
Bagaimanapun, katanya, tindakan parti itu memilih tidak mempertandingkan jawatan tertinggi merupakan serampang dua mata.
“Ini bagus dari segi kesinambungan dan kestabilan berbanding Bersatu, tetapi mengehadkan kepimpinan baharu serta idea baharu.
“Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mungkin mempunyai peluang baik pada masa depan, namun buat masa ini, masih wajah sama di peringkat kepimpinan sejak sekian lama.”