
AGC dalam kenyataan memaklumkan notis itu diserahkan semalam mengikut Aturan 52 Kaedah 2B, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Ia susulan hantaran di akaun Facebook ‘Mona Din’ pada 4 Sept yang antara lain mempertikaikan keterangan Dr Jessie Hiu, pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut AGC, hantaran itu berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu prosiding inkues yang sedang berlangsung.
“Penghantaran notis ini merupakan sebahagian daripada prosedur untuk memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut memaklumkan pertuduhan jenayah akan dikemukakan dalam masa terdekat terhadap beberapa individu lain yang turut mengeluarkan kenyataan berhubung kes Zara Qairina.
“AGC memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang berbuat demikian,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi hari sebelumnya.
Pada 13 Ogos, AGC mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.