Kos bahan binaan naik pada Ogos

Kos bahan binaan naik pada Ogos

Peningkatan tertinggi indeks harga dicatatkan di Pahang (1.1%), diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.0%) dan Miri (0.6%).

construction workers
Perbandingan bulanan indeks kos bahan binaan termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan antara 0.1% hingga 0.6% pada Ogos berbanding bulan sebelumnya.
KUALA LUMPUR:
Indeks harga seunit simen naik antara 0.1% dan 1.1% pada Ogos 2025 berbanding bulan-bulan lalu, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan tertinggi indeks harga bahan ini dicatatkan di Pahang (1.1%), diikuti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.0%) dan Miri (0.6%).

Beliau berkata, indeks harga pasir meningkat pada Ogos dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.1% hingga 0.5%.

“Peningkatan tertinggi bagi indeks seunit bahan ini telah direkodkan di Perak (0.5%),” katanya dalam kenyataan berhubung laporan Siaran Khas Untuk Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur, Ogos 2025 hari ini.

Sementara itu, beliau berkata indeks harga seunit besi (rebar) pula kekal tidak berubah bagi semua kawasan kecuali penurunan dalam indeks di Terengganu dan Kelantan (-1.0%), diikuti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan Sibu, masing-masing (-0.3%).

Perbandingan tahunan untuk tempoh Ogos 2024 dan Ogos 2025 menunjukkan indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara negatif 4.6% hingga negatif 12.9% bagi kebanyakan kawasan di Malaysia.

Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit bahan ini telah dicatatkan di Perak (-12.9%).

Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 0.3% hingga 3.9% pada Ogos 2025.

Beliau turut memaklumkan purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars merekodkan peningkatan kecil (0.1%) dengan purata harga RM3,491.35 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Julai 2025: RM3,488.65 per tan metrik).

Dalam pada itu, purata harga bagi simen Ordinary Portland juga telah mencatatkan peningkatan kecil (0.1%) dengan purata harga RM23.85 per 50 kg sekarung berbanding Julai 2025 (RM23.80 per 50 kg sekarung).

Perbandingan bulanan indeks kos bahan binaan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan antara 0.1% hingga 0.6% pada Ogos 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Peningkatan ini dicatatkan bagi semua kategori bangunan kecuali di kawasan Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1% dan 0.4% bagi semua kategori bangunan dan kawasan pada Ogos 2025 berbanding bulan sebelumnya.

Dalam tempoh sama, IKB termasuk bar keluli di Sarawak merekodkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1% hingga 0.3% bagi semua kategori bangunan.

Berdasarkan sudut pasaran komoditi, menurut laporan daripada Shanghai Metal Market bertarikh 30 Ogos, 2025, pasaran besi tetulang (rebar) di Malaysia kebelakangan ini masih berdaya tahan, dengan trend harga yang stabil dan mengukuh.

“Pusingan sokongan harga kali ini terutaman didorong oleh peningkatan ketara dalam kos pengeluaran yang digabungkan dengan struktur bekalan yang semakin ketat, sekali gus menaikkan paras pasaran secara keseluruhan,” kata DOSM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.