Kerajaan pusat lulus RM3 juta perkukuh sistem kesan gegaran, kata MB Johor

Kerajaan pusat lulus RM3 juta perkukuh sistem kesan gegaran, kata MB Johor

Onn Hafiz Ghazi berkata pembinaan dua stesen baharu itu sebahagian usaha jangka sederhana di kawasan berisiko.

gempa bumi segamat
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, berkata semua pembangunan baharu juga perlu ambil kira piawaian struktur bangunan tahan gempa.
ISKANDAR PUTERI:
Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM3 juta membina stesen seismologi tambahan (weak motion) di Johor sebagai langkah memperkukuh sistem pemantauan gempa bumi di negeri itu.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, berkata dua stesen baharu berkenaan akan melengkapi enam stesen sedia ada yang turut dinaik taraf, sekali gus meningkatkan keupayaan pengesanan awal gegaran di kawasan berisiko.

Beliau menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha jangka sederhana kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk memperkukuh pemantauan saintifik serta analisis di kawasan terkesan.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi atas kelulusan peruntukan RM3 juta ini,” katanya pada sidang DUN Johor.

Selain itu, JMG Johor turut melaksanakan siasatan tanah dan bangunan di kawasan pusat gempa bagi menentukan tahap risiko dengan lebih tepat, sekali gus memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Beberapa siri gempa bumi lemah berlaku di Segamat dan Batu Pahat bermula pada 24 Ogos 2025 dengan magnitud 4.1, disusuli tujuh gegaran susulan antara 27 Ogos hingga 3 Sept dengan magnitud antara 2.5 hingga 3.4.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut memperkukuh kesiapsiagaan melalui kajian berterusan mengenai garisan sesar dan impak gempa oleh JMG, MetMalaysia serta universiti awam, dengan hasil kajian dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Semua pembangunan baharu juga perlu mengambil kira piawaian ‘Malaysia National Annex to Eurocode 8’ bagi memastikan struktur bangunan tahan gempa,” katanya.

Beliau menambah, penilaian kerentanan terhadap infrastruktur kritikal sedia ada seperti hospital, empangan, pusat data, dan kemudahan strategik juga akan dilaksanakan.

Selain itu, garis panduan keselamatan bangunan dan infrastruktur strategik di kawasan berisiko turut dibangunkan, manakala pemetaan risiko seismik akan dikemas kini secara berterusan menggunakan cerapan pergerakan sesar serta integrasi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.