
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata perhimpunan PAS yang bermula esok hingga 16 September di Alor Setar, Kedah mungkin menjadi tumpuan semua mata, selepas timbulnya spekulasi mengenai calon perdana menteri PN pada PRU16.

Menurutnya, berdasarkan persetujuan awal, PAS jelas menolak hasrat mengetuai PN dan menyerahkan kepimpinan itu kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang pada perhimpunan agung parti minggu lalu diangkat sebagai calon perdana menteri ke-11.
“Namun perkembangan terkini menyaksikan spekulasi PAS ingin menggantikan calon perdana menteri dengan tokoh lain, sedangkan Bersatu sudah mengabsahkan Muhyiddin sebagai pilihan parti.
“Ini memberi isyarat isu kepimpinan perlu diperhalusi semula melalui rundingan dalam PN dan menuntut kebijaksanaan politik supaya sebarang langkah tidak menjejaskan imej kesepakatan,” katanya kepada FMT.
Sebelum diumumkan sebagai calon perdana menteri Bersatu, Muhyiddin berdepan episod surat layang, desakan supaya beliau berundur serta penentangan yang sebelum ini tersembunyi tetapi kini semakin terbuka ketika beliau merasmikan perhimpunan parti.
Kekecohan tercetus apabila Muhyiddin mendedahkan dalam ucapannya ada pihak mengumpul tandatangan untuk menyingkirkannya.

Mengulas situasi itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PAS kini dilihat lebih stabil berbanding Bersatu dari segi pimpinan, memandangkan semua jawatan utama kekal tidak ditandingi pada muktamar kali ini.
“PAS juga mempunyai lebih banyak kerusi. Tetapi walaupun stabil, kepimpinan sekarang terlalu ekstrem pandangannya, hingga menakutkan pengundi bukan Melayu,” katanya ditanya sama ada PAS wajar menjadi ‘pemandu utama’ PN.
“Jadi isu dalam Bersatu perlu diselesaikan segera – sama ada Muhyiddin mampu membuktikan beliau masih ada sokongan akar umbi atau berundur bagi memberi laluan. Jika tidak, PN akan berdepan masalah menjelang PRU16.”
Sementara itu, Hisomuddin berkata pengekalan lima jawatan tertinggi yang dimenangi tanpa bertanding mewujudkan dua naratif berbeza.
“Dari satu sisi, ia menunjukkan PAS berjaya mengelakkan konflik dalaman dan mengekalkan kesepaduan pimpinan. Namun dari sisi lain, ia memberi isyarat tidak banyak pembaharuan boleh diharapkan dari segi hala tuju baharu parti, sebaliknya barisan sama terus mendominasi struktur PN.
“Maka, orientasi PAS kekal pada landasan lama – dominan di negeri majoriti Melayu tetapi masih gagal mencari formula konkrit untuk menembusi sokongan etnik lain, sama ada terhadap PAS mahupun PN,” katanya.
Presiden PAS Hadi Awang mengekalkan jawatan tanpa bertanding, begitu juga timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man serta tiga naib presiden – Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Amar Abdullah.
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang disifatkan pemimpin popular PAS, menolak pencalonan bagi jawatan naib presiden.
Hisomuddin turut menekankan keperluan PAS melaksanakan pendekatan lebih menyeluruh termasuk perubahan naratif, penjenamaan politik inklusif serta dasar yang meyakinkan semua segmen masyarakat jika mahu menarik sokongan etnik lain.
“Usaha menarik sokongan bukan Islam sebenarnya bukan perkara baharu. PAS pernah mencapai kejayaan pada era Pakatan Rakyat apabila menampilkan slogan ‘Negara Berkebajikan’ dan ‘PAS for All’, yang berjaya menarik pengundi Cina sehingga ada yang berani mengibarkan bendera bulan tanpa rasa segan.
“Namun kini, PAS kembali menampilkan wajah politik lebih konservatif, khususnya terhadap masyarakat Cina, hingga menimbulkan rasa curiga dan penolakan.
“Strategi memperkukuh Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah persepsi itu,” katanya.