62 keluarga terjejas gempa di Segamat akan terima maksimum RM3,000

62 keluarga terjejas gempa di Segamat akan terima maksimum RM3,000

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Segamat, 62 rumah, dua surau dan sembilan premis kerajaan dilaporkan mengalami kerosakan.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata bantuan itu akan disalurkan dengan sokongan kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Kerajaan Johor akan menyalurkan bantuan kepada 62 ketua isi rumah di Segamat yang terkesan siri gempa bumi lemah melanda di daerah itu baru-baru ini pada kadar maksimum RM3,000 bagi setiap keluarga.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata bantuan itu akan disalurkan dengan sokongan kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Beliau berkata, berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBD) Segamat, 62 rumah, dua surau dan sembilan premis kerajaan dilaporkan mengalami kerosakan.

“Sejurus gempa pertama pada 24 Ogos, pegawai daerah Segamat menggerakkan semua agensi, penghulu dan ketua kampung untuk membuat penilaian segera dan turut menilai kerosakan dihadapi menerusi mesyuarat khas JPBD.

“Kerajaan negeri sedar beban paling berat ditanggung keluarga yang rumahnya terjejas,” katanya ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, menjawab pertanyaan lapan Adun berhubung bencana itu.

Beliau berkata, penilaian teknikal oleh Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan mengesahkan semua bangunan kerajaan masih selamat digunakan.

Katanya, fasiliti penting seperti Tenaga Nasional Berhad, Petronas, Ranhil SAJ dan Badan Kawalselia Air Johor (Bakaj) turut diperiksa, di mana semua sistem serta kemudahan asas ini dalam keadaan baik dan berfungsi seperti biasa.

Beberapa siri gempa bumi lemah berlaku di Segamat dan Batu Pahat bermula 24 Ogos lalu pada magnitud 4.1, diikuti tujuh gegaran susulan bermagnitud 2.5 hingga 3.4 antara 27 Ogos hingga 3 Sept lalu.

Bagi jangka pendek, katanya, kerajaan negeri menumpukan usaha pengaktifan bilik gerakan bencana 24 jam bersama agensi keselamatan dan teknikal, hebahan kesedaran kepada orang awam, pembangunan prosedur tetap operasi (PTO) gempa bumi serta pelaksanaan Program Community-Based Disaster Risk Management yang akan diperluaskan ke sekolah dan komuniti menjelang akhir Oktober ini.

“Selain itu, enam stesen seismologi sedia ada di Johor akan dinaik taraf, manakala dua stesen tambahan akan dibina dengan peruntukan RM3 juta yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.”

Bagi jangka panjang, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan memperkukuh pemantauan melalui kajian berterusan mengenai garisan sesar serta pelaksanaan piawaian binaan tahan gempa untuk pembangunan baharu.

“Pemetaan risiko seismik juga akan dikemas kini secara berterusan melalui cerapan pergerakan sesar dengan integrasi teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.