
Bagaimanapun, Presiden MCA Wee Ka Siong menegaskan bahawa tawaran biasiswa daripada dua institusi yang berkait dengan partinya itu tidak harus dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah sebenar dalam kes Wong.
Wee berkata Wong, yang memperoleh CGPA 4.0 dan pencapaian kokurikulum 99.9%, percaya beliau berhak mendapat tempat di universiti awam terbaik negara.
“Beliau rasa ini adalah hak perlembagaannya. Dengan keputusan sebegini, beliau sepatutnya layak masuk ke universiti terbaik dalam negara. Kenapa beliau tidak boleh perjuangkan haknya? Saya hormati pendiriannya,” katanya pada sidang media.
Wee turut memberi amaran bahawa Malaysia berisiko kehilangan bakat terbaik kerana Wong mungkin menerima tawaran dari universiti luar negara.
“Bila-bila masa sahaja, beliau akan dapat lebih banyak tawaran. Tetapi adakah anda sanggup lihat Singapura tarik orang-orang sebegini ke sana? Saya rasa ini bukan caranya,” katanya.
Wee dalam satu sidang media sebelum ini, mendedahkan Wong gagal mendapat tempat di UM walaupun memperoleh keputusan cemerlang dan menyifatkan proses UPU sebagai ‘rosak’ dan ‘tidak adil’.
Beliau berkata Wong turut diterima masuk ke kursus perakaunan UM melalui pengambilan terbuka, namun dengan yuran RM83,800 hampir 10 kali ganda lebih tinggi berbanding RM8,300 melalui laluan bersubsidi UPU.
Jabatan Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa Wong berada pada kedudukan ke-1,129 daripada 2,291 pemohon yang layak ke UM, sedangkan hanya 85 tempat ditawarkan untuk kursus perakaunan di universiti pilihannya itu tahun ini.
Katanya, Wong sebaliknya ditawarkan tempat dalam program ijazah sarjana muda pengurusan dengan kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka, pilihan kelimanya.