
Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Azian Mat Isa, 38, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi Hakim, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia selaku penjawat awam iaitu penolong pegawai hal ehwal islam di Jakim merangkap penyelaras pentadbiran Masjid Daerah Taiping didapati melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berupa lebihan bayaran imbuhan imam membabitkan 10 masjid di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama (LMS).
Tertuduh dikenali sebagai ‘Ustaz Azian’ didakwa melakukan kesalahan melibatkan jumlah keseluruhan RM30,250 itu di Pejabat Agama Islam Daerah Taiping antara 4 Mac 2019 hingga 20 Jun 2023.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun namun tidak melebihi 20 tahun dan sebatan serta denda bagi setiap pertuduhan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Suzieyana Azura Yahaya dan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.
Terdahulu, Suzieyana Azura menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh melapor diri ke Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali.
Ahmad Shamil bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya hanya mampu menyediakan maksimum RM10,000 selain menjadi penyara tunggal keluarga sebagai penternak kambing dengan pendapatan sekitar RM1,000.
Hakim kemudian menetapkan jaminan RM16,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dicadangkan serta pasport antarabangsa tertuduh ditahan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 13 Oktober.