
Katanya, cadangan pertukaran nama itu sepatutnya melibatkan semua tempat bukannya Port Dickson saja.
“Saya dimaklumkan mengenai beberapa NGO yang diterajui Pertubuhan Pemerkasaan Identiti (Identiti) bersama dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) untuk menukar nama Port Dickson kepada suatu nama lain iaitu Pantai Dermaga.
“Bagi saya, kalau nak tukar nama, tukarlah semua sekali, janganlah Port Dickson saja. Port Klang kita tukar, Kuala Lumpur kita tukar, Georgetown (Pulau Pinang), kenapa satu-satu…lambat.
“Kuala Lumpur macam mana dinamakan Kuala Lumpur sedangkan kuala itu asasnya berhampiran dengan laut. Tukar nama Ulu Lumpur ke,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Negeri, Seremban.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mempersoalkan kenapa kawasan berkenaan yang menjadi sasaran dan pada masa sama minta semua pihak bersikap lebih terbuka.
Katanya, Port Dickson sudah dikenali ramai termasuk pelancong luar sebagai kawasan pantai peranginan.
“Port Dickson pantai peranginan yang dikenali dunia, malah sejak saya dilahirkan, pantai itu telah dikenali sebagai Port Dickson.
“Tapi terpulanglah, saya dimaklumkan mereka nak buat (sidang media) 15 Sept ini. Tapi bagi saya kalau nak tukar, buatlah satu negara. Kalau tukar satu-satu sukar pihak pemetaan nak uruskan,” katanya.
Ditanya kritikan pihak tertentu mengenai langkah menukar Jalan Temiang di Seremban kepada Jalan Dr Chen Man Hin yang dibuat pada 2023, beliau berkata perkara itu tidak harus dibangkitkan lagi.
“Tak apalah, sekarang kita dah tukar nama, Jalan Temiang itu pun panjang, nanti kita boleh (guna) Temiang lain,” katanya.