PRIME perkukuh jaringan digital luar bandar, bukan sekadar bencana

PRIME perkukuh jaringan digital luar bandar, bukan sekadar bencana

SKMM berkata sistem komunikasi bergerak itu mampu sediakan internet dan siaran maklumat di pedalaman.

fahmi
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melihat dron pada Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) selepas majlis pelancaran unit itu di Tawau pada 7 Sept lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) bukan sahaja menjadi talian hayat ketika bencana, malah berfungsi menyokong inisiatif kerajaan memperkukuh jaringan digital masyarakat luar bandar.

Menyokong Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), PRIME menyediakan capaian internet bergerak serta siaran maklumat di lokasi pedalaman yang biasanya berdepan kekangan liputan telekomunikasi, menurut penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ia membolehkan komuniti setempat mendapat maklumat tepat serta kemudahan komunikasi digital yang lebih baik,” katanya dalam soalan lazim FAQ SKMM berhubung PRIME.

Dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 16 Jun lalu, PRIME inisiatif strategik untuk menyediakan kemudahan komunikasi moden khusus di kawasan terjejas akibat bencana alam, zon kecemasan atau lokasi tanpa infrastruktur komunikasi sedia ada, terutama di luar bandar.

Inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu turut membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan agensi lain memastikan operasi bencana dapat dijalankan dengan capaian komunikasi yang lebih baik.

Pada 7 Sept lalu, kerajaan turut memperluaskan PRIME ke Sabah, dengan pelancarannya disempurnakan Fahmi di Tawau. Pemasangan unit di Sarawak pula dijangka siap pada Oktober depan.

Sistem PRIME menggabungkan pelbagai teknologi moden untuk menjamin capaian komunikasi menyeluruh, antaranya komunikasi satelit bagi kawasan tiada liputan selular.

Selain itu, rangkaian selular mudah alih yang boleh digerakkan ke lokasi bencana, radio dua hala untuk kegunaan pasukan operasi di lapangan, ‘wifi hotspot’ bagi menyediakan akses internet pantas, selain dron untuk memperluaskan liputan dan menyampaikan maklumat terus dari lokasi kejadian.

SKMM menjelaskan PRIME turut memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap bencana dengan kemampuan untuk digerakkan ke kawasan terputus rangkaian.

“Ini memastikan tiada jurang komunikasi semasa operasi menyelamat, membolehkan tindakan lebih cepat, terancang dan berkesan bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda,” katanya.

Layari www.mcmc.gov.my untuk maklumat lanjut berkait PRIME atau hubungi 1800-188-030 atau emel ke [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.