
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihaknya tidak ada pengesahan mengenai status data rakyat Malaysia dipegang laman sesawang tersebut.
“Saya telah membuat semakan dan SKMM memaklumkan sebenarnya laman sesawang itu telah disekat sejak Jun 2022 lagi.
“SKMM berhubung dengan penyelia perkhidmatan untuk mendapat maklumat lanjut mengenai individu disebalik laman sesawang tersebut,” katanya dalam sidang media di kementerian.
Jurucakap kerajaan berkata, makluman terperinci berhubung perkara itu boleh dirujuk dengan SKMM.
Beliau mengulas satu laporan media mendakwa data peribadi rakyat Malaysia dijual di laman sesawang caghi.com.
Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan tular satu hantaran di Facebook mengenai seorang pengguna yang mendakwa data peribadi seperti nombor kad pengenalan, alamat rumah, nombor telefon, rekod pendaftaran dan lesen kenderaan, maklumat sulit perbankan, bahkan informasi perniagaan milikan sendiri, dibocor di sebuah laman sesawang.
Pengguna Facebook dengan nama ‘Pendakwah Teknologi’ mendedahkan segala maklumat sensitif termasuk nombor pengesahan kad (CVV) tiga digit yang dicetak pada bahagian belakang kad debit atau kredit juga terdedah dan boleh diakses orang ramai.
Paparan laman sesawang tersebut turut menunjukkan sumber data diperoleh antaranya daripada Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, aplikasi MySPR Semak, e-Tribunal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, serta beberapa syarikat utiliti dan telekomunikasi.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata semua lawatan menteri ke luar negara dihentikan buat sementara waktu.
Beliau berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan menteri memberi fokus dan keutamaan kepada pelaksanaan beberapa program dan persiapan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 10 Okt ini.
“(Langkah itu) juga sebagai persiapan menuju sidang Kemuncak Asean yang akan berlangsung hujung Oktober,” katanya.