
Wong Soon Koh berkata Sarawak hanya menuntut hak dan keadilan terhadap hasil kekayaan sumber asli itu, lapor Utusan Borneo.
Minggu lalu, Penasihat Undang-Undang Sarawak JC Fong dilaporkan berkata Petronas mengaut 95% hasil O&G negeri itu dengan Sarawak hanya menerima RM49 bilion sepanjang hampir 50 tahun.
Wong yang juga Adun Bawang Assan selama tujuh penggal berkata ‘bahagian yang terlalu kecil’ diterima Sarawak itu adalah ‘satu realiti yang tidak boleh disangkal’.
“Mari kita bertanya dengan jujur. Selama 50 tahun sejak 1975, Sarawak hanya diberikan 5% royalti daripada O&G yang diambil dari tanah dan laut kita.
“Adakah ini adil?” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Naib presiden kanan Parti Demokratik Progresif (PDP) itu mengulas kenyataan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli yang dalam satu podcast baru-baru ini menolak pandangan Fong.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata kenyataan Fong itu tidak tepat dan hanya mengambil angka ‘separuh-separuh’ selain gagal menjelaskan perbelanjaan ratusan bilion ringgit ditanggung Petronas untuk membangunkan industri O&G di Malaysia Timur.
Bagaimanapun, Wong berkata Sarawak hanya menerima sekitar RM96 bilion secara keseluruhan dari 1975 hingga 2024.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi RM49 bilion royalti minyak, RM28.6 bilion dividen dan RM18.66 bilion cukai jualan negeri.
“Jumlah ini amat kecil berbanding anggaran bebas yang menunjukkan nilai keseluruhan sumber yang dikeluarkan dari Sarawak melebihi RM2 trilion,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Sarawak dari PKR, Chiew Choon Man berkata antara 70% dan 80% hasil O&G itu digunakan untuk membiayai operasi, bermula daripada penerokaan luar pesisir sehingga pengeluaran.
Katanya, daripada baki 20% hingga 30%, kira-kira 5% disalurkan terus kepada kerajaan negeri masing-masing manakala 5% lagi kepada kerajaan persekutuan.
Chiew berkata sebahagian daripada baki 10% hingga 20% hasil dikongsi dengan rakan kongsi perkongsian pengeluaran Petronas dan seterusnya dikurangkan lagi oleh kos sampingan.