Jangan ada stigma kait vape dengan narkotik, kata pemain industri

Jangan ada stigma kait vape dengan narkotik, kata pemain industri

Malaysian Organisation of Vape Entity berkata menyamakan vape dengan dadah hanya mengelirukan pembuat dasar dan menyukarkan penyelesaian realistik.

Smoking and vaping
Malaysian Organisation of Vape Entity berkata vape ialah peranti penghantaran dan ia menjadi berbahaya apabila dicemari bahan terlarang di pasaran gelap.
PETALING JAYA:
Sebuah NGO berharap tiada lagi stigma mengaitkan vape dengan narkotik di sebalik gesaan pengharamannya.

Presiden Malaysian Organisation of Vape Entity (MOVE) Samsul Kamal Ariffin berkata menyamakan vape dengan dadah hanya mengelirukan pembuat dasar dan menyukarkan penyelesaian realistik.

Katanya vape ialah peranti penghantaran seperti picagari atau inhaler dan ia menjadi berbahaya apabila dicemari bahan terlarang di pasaran gelap jika rokok elektronik diharamkan.

Beliau berkata jika kerajaan benar-benar mahu melindungi generasi muda, hanya kawal selia boleh memastikan matlamat itu dicapai.

“Dengan kawalan, kita boleh pastikan kandungan selamat dan akses lebih bertanggungjawab.

“Larangan tidak menghapuskan risiko. Ia hanya mengekalkan pilihan yang paling berbahaya, iaitu rokok sambil menutup alternatif lebih selamat.

“Bila kita bercakap tentang haramkan vape, hakikatnya kita bukan melindungi kesihatan, tetapi melindungi industri rokok,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan pada 1 Ogos lalu dilaporkan berpegang kepada prinsip pengharaman produk rokok elektronik, khususnya vape sistem terbuka, bukan lagi persoalan jika, tetapi bila ia akan dilaksanakan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan kini di landasan tegas untuk melaksanakan pengharaman itu selepas meneliti bukti saintifik, implikasi terhadap kesihatan awam serta kesan perundangan secara menyeluruh.

Menurutnya pendekatan berhati-hati amat penting bagi memastikan tindakan kerajaan bersifat menyeluruh, berasaskan bukti dan kukuh dari segi perundangan serta pelaksanaannya.

Samsul berkata penangguhan larangan vape tidak wajar dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya peluang untuk merangka dasar kawal selia betul.

Justeru, beliau mendesak Kementerian Kesihatan mengambil keputusan tegas dengan memilih kawal selia berasaskan sains, bukannya retorik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.