Inkues Zara: Telefon awam di asrama ditutup 2 hari

Inkues Zara: Telefon awam di asrama ditutup 2 hari

Suis telefon awam ditutup atas arahan ketua warden, kata pengawal keselamatan SMKA Tun Datu Mustapha ketika prosiding inkues.

Mahkamah kota kinabalu
Inkues berhubung kematian Zara Qairina Mahathir sedang berjalan di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU:
Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa telefon awam di dua blok asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, ditutup dua hari bermula 16 Julai lepas, iaitu selepas insiden membabitkan Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu didedahkan oleh pengawal keselamatan sekolah itu, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, ketika menjawab soalan peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja tersebut.

Shahlan: Puan, boleh saya tahu bagaimana pelajar-pelajar di sana menghubungi ibu bapa mereka?

Linah: Mereka guna telefon awam …ada juga yang pinjam telefon saya”.

Shahlan: Mereka guna duit syiling?

Linah: Tidak … mereka guna kad. Kalau baki dalam kad tiada, mereka terpaksa guna telefon bimbit pengawal (saya dan seorang lagi).

Shahlan: Dalam tempoh dua hari selepas 16 Julai, adakah pelajar-pelajar sekolah itu dapat menghubungi ibu bapa mereka?

Linah: Telefon awam ditutup selama dua hari, dua malam … sebab takut budak-budak telefon ibu bapa.

Shahlan: Macam mana telefon awam boleh ditutup?

Linah: Suis ditutup.

Shahlan: Siapa yang tutup?

Linah: Ketua warden suruh tutup.

Terdahulu, saksi memberitahu bahawa beliau menemukan Zara Qairina dalam keadaan terlentang di longkang, tidak sedarkan diri dengan kesan darah pada tengkuk, kira-kira 3 pagi, pada 16 Julai lepas.

Pada akhir prosiding hari ini, Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan, beliau bersama pasukan pendakwa raya, peguam dan pakar patologi Dr Jessie Hiu akan melawat lokasi kejadian di sekolah itu pada 9.30 pagi esok.

Bagaimanapun, katanya, pengamal media tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah semasa lawatan.

Prosiding akan bersambung semula di mahkamah selepas lawatan tersebut.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi hari sebelumnya.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis.

Pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur pelajar Tingkatan Satu itu bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.