Lelaki Vietnam didenda, dipenjara atas 5 tuduhan termasuk cuba cedera bayi

Lelaki Vietnam didenda, dipenjara atas 5 tuduhan termasuk cuba cedera bayi

Nguyen Minh Hoa, 36, mengaku salah atas tuduhan termasuk curi di pasar raya dan tinggal lebih masa di negara ini tanpa izin.

Nguyen Minh Hoa
Nguyen Minh Hoa, 36, dijatuhi hukuman denda dan penjara di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga Vietnam didenda RM20,000 dan penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini, antaranya kerana mencuri barangan basah di sebuah pasar raya, mencederakan dan cuba mencederakan beberapa individu, termasuk seorang bayi 11 bulan.

Nguyen Minh Hoa, 36, mengaku bersalah terhadap lima tuduhan yang dibacakan dalam bahasa Vietnam di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal, lapor Bernama.

Mengikut tuduhan pertama dan kedua, dia didakwa dengan sengaja mencederakan dua lelaki, masing-masing warga tempatan dan Nepal, menggunakan sebilah pisau di sebuah pasar raya di Telaga Air pada 9 Ogos lepas.

Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa cuba mencederakan seorang bayi lelaki berusia 11 bulan menggunakan sebilah pisau di lokasi dan tarikh sama.

Ketiga-tiga tuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman ini, jika sabit kesalahan.

Untuk tuduhan keempat, lelaki itu didakwa mencuri udang, ketam merah, kerang, ikan cencaru dan ayam bernilai RM180 milik pasar raya itu pada 9 Ogos lepas.

Tuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia juga didakwa tinggal di negara ini selepas tamat pas lawatan pada 18 Okt 2024, iaitu sembilan bulan 22 hari tanpa alasan munasabah

Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 itu boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Nguyen Minh Hoa yang tidak diwakili peguam didenda RM20,000 bagi tuduhan pertama hingga ketiga dan sekiranya gagal bayar, akan dipenjara 23 bulan.

Bagi tuduhan keempat, dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh tangkap, manakala bagi tuduhan kelima dikenakan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis Nor Aziah Hasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.