
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan menguruskan jenazah budak perempuan berusia lapan tahun dan budak lelaki enam tahun tersebut.
Satu sesi pendengaran telah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini bagi menentukan agama kanak-kanak tersebut.
“Hakim Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan dua mangsa tersebut beragama Islam dan diperintahkan dikebumikan mengikut cara Islam,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Alzafny dilaporkan berkata, pada 11.45 pagi, 4 Sept, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai, dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan berada di dalamnya.
Katanya, siasatan mendapati dua kanak-kanak tersebut yang beralamat di Shah Alam, Selangor, dipercayai lemas akibat terperangkap di dalam kenderaan.
Alzafny turut melaporkan seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai bapa kanak-kanak itu, dan teman wanitanya berusia 41 tahun direman tujuh hari bermula 5 Sept, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berhubung kematian dua kanak-kanak tersebut.
Media turut melaporkan tiada ahli keluarga atau waris hadir di Unit Forensik Hospital Port Dickson ketika proses bedah siasat mangsa pada Jumaat lepas.
Dalam pada itu, Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah dalam kenyataan berkata, jenazah dua beradik itu diuruskan di Hospital Port Dickson kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana, Port Dickson hari ini.