Tulisan tangan orang lain ditemui dalam buku Zara Qairina

Tulisan tangan orang lain ditemui dalam buku Zara Qairina

Ia dimaklumkan pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Nurul Atiqah Mohd Noh dalam keterangan bertulis di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini.

zara qairina
Tulisan tangan orang lain ditemui dalam buku bertanda ‘W3’ di beberapa muka surat sebuah buku milik Zara Qairina Mahathir, kata pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Nurul Atiqah Mohd Noh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tulisan tangan orang lain ditemui dalam sebuah buku milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir selepas ia diperiksa oleh pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Nurul Atiqah Mohd Noh.

Dalam keterangan bertulis yang dibacakan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini, Nurul Atiqah berkata tulisan terbabit ditemui dalam buku bertanda ‘W3’ di beberapa muka surat.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan daripada contoh tulisan tangan ‘SA’ (tulisan tangan Zara Qairina).

“Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini tidak ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina).

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat satu adalah campuran tulisan tangan penulis contoh (Zara Qairina) dan seorang yang lain,” katanya, menurut Berita Harian.

Menurutnya, buku bertanda W3 itu ialah buku ‘Diamonds’ yang dinomborkannya bermula muka surat satu hingga 103, bertarikh antara 16 November 2024 dan 24 Mei 2025, mengandungi tulisan tangan yang dipertikaikan atau dipercayai milik arwah Zara Qairina.

Tambahnya lagi, dia secara keseluruhannya memeriksa 15 helai kertas, empat buku nota dan dua buku teks yang mengandungi tulisan tangan untuk menentukan sama ada ia milik Zara Qairina atau sebaliknya.

Selain itu jelasnya, dokumen lain yang diperiksanya hanya mengandungi tulisan remaja terbabit selepas pemeriksaan menunjukkan persamaan dengan contoh tulisannya.

Dokumen itu ialah helaian kertas bertanda Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15, selain dalam helaian kertas Y8 dan buku bertanda W1 dan W2.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘Y1’ hingga ‘Y7’ dan ‘Y9’ hingga ‘Y15’ menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina).

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘Y8’ menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W1’ dan ‘W2’ menunjukkan persamaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan dengan contoh tulisan tangan ‘SA’. Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini ditulis oleh penulis contoh,” katanya.

Menurutnya, semua dokumen itu dimasukkan kembali ke dalam beg barang kes asal dan dimeterai kembali dengan label keselamatan ‘JABATAN KIMIA MALAYSIA’ sebaik selesai dianalisis.

“Dokumen itu bersama tiga salinan laporan kimia kemudian diserahkan kepada polis pada 10.45 pagi, 2 September lalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.