Tingkat pemahaman sejarah generasi muda untuk pupuk semangat cinta negara

Tingkat pemahaman sejarah generasi muda untuk pupuk semangat cinta negara

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dalam menuju era digitalisasi dan AI, aspek sejarah perlu dititikberatkan supaya generasi muda sentiasa berada di landasan betul.

MAJLIS SEJARAWAN NEGARA - PICC
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis pelancaran, penyampaian watikah dan mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Anwar Ibrahim berkata usaha memperkukuh pemahaman sejarah perlu dipertingkatkan untuk memupuk minat generasi muda terhadap negara serta menyemai semangat cintakan tanah air.

Perdana menteri berkata meskipun negara sedang menuju era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), aspek sejarah perlu dititikberatkan supaya golongan muda sentiasa berada di landasan betul.

“Jadi, cabaran kita adalah bagaimana boleh membangunkan naratif kebangsaan yang boleh menembus rintangan yang ada agar kecelikan sejarah atau literasi sejarah itu juga boleh berkembang di kalangan generasi muda dan masyarakat.

“Ia tidak semestinya semua harus mengambil disiplin dan kemantapan daripada ajaran (sejarah), tetapi sistem itu harus memberikan minat (dalam aspek sejarah),” katanya berucap pada majlis pelancaran, penyampaian watikah dan mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau berkata AI tidak boleh dijadikan sumber rujukan utama tanpa nilai dan identiti tempatan.

“AI akan berjaya kalau kita faham nilai, akhlak dan sejarah kita. AI itu akan jadi penerusan pandangan asing, sekiranya kita hanya menciplak tanpa mempertahankan identiti dan kekuatan kita sendiri, termasuk sejarah.”

Justeru, tegasnya generasi muda perlu mendapat pendidikan menyeluruh merangkumi teknologi, sejarah, bahasa, budaya, agama serta nilai.

“Anak-anak mesti dilatih dalam pelbagai disiplin, termasuk sejarah, budaya, bahasa, agama dan yang lebih penting nilainya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.