
Dalam satu kenyataan yang menuntut permohonan maaf daripada pihak pengurusan, Tian Chua juga berkata tidak ada sebarang cubaan untuk mengadakan demonstrasi di dalam pusat beli-belah tersebut dan peserta perhimpunan anti-Donald Trump telah memasuki kompleks itu selepas bersurai.
Menurutnya, dia sendiri tidak berhasrat masuk ke dalam pusat beli-belah sehinggalah dimaklumkan beberapa peserta telah dihalang kerana mereka memakai lencana dan keffiyeh serta membawa bendera dan plakad.
Tian Chua, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan pro-Palestin, berkata dia memberitahu pengawal keselamatan bahawa mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menentukan apa yang orang awam boleh pakai.
“Menghalang orang masuk hanya atas dasar pakaian atau simbol merupakan tingkah laku sewenang-wenang dan diskriminasi. Ini tidak boleh diterima,” katanya.
Katanya, dia kemudian memberi isyarat kepada peserta untuk terus bergerak secara aman, namun pegawai keselamatan menghalang mereka masuk hingga tercetus kekecohan kecil.
Dia mendakwa seorang pengawal keselamatan juga telah mengarahkan rakan setugasnya untuk merampas bendera Palestin daripada seorang wanita yang dalam perjalanan ke tandas.
Katanya, dia mengambil bendera itu dan menyatakan dia sendiri akan membawanya keluar namun dikepung beberapa lelaki yang cuba merampasnya.
Tian Chua berkata, walaupun dia mencadangkan agar bendera itu dicabut daripada kayunya, pengawal keselamatan tetap cuba merampasnya dengan kekerasan, ‘malah sampai sanggup menolak’.
Suria KLCC semalam mempertahankan pasukan keselamatannya selepas sebuah video tular memaparkan kekecohan dengan seorang pengunjung yang membawa kayu bendera ke dalam pusat beli-belah itu.
Katanya, peraturan itu terpakai kepada semua dan tidak berasaskan pendirian politik.
Tian Chua menggesa pihak pengurusan Suria KLCC menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap insiden itu yang disifatkan ‘amat membimbangkan’, serta meneliti dan menyemak semula protokol keselamatannya.
Beliau juga menuntut permohonan maaf rasmi kepada peserta yang terlibat dan orang awam.
“Insiden ini berpunca daripada tindakan keterlaluan pengawal keselamatan dan bukannya satu cubaan untuk menyekat solidariti terhadap rakyat Palestin,” katanya.