
RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 33 senator bersetuju, lapan tidak bersetuju, dua tidak mengundi, dan 14 tidak hadir.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan beri jaminan bahawa kementerian mengambil kira cadangan, khususnya dalam menggubal peraturan dan arahan supaya memperkukuh kriteria bagi perolehan secara rundingan terus dan menambah baik penzahiran penganugerahan perolehan secara rundingan terus.
Beliau berkata berbeza daripada keadaan semasa, keputusan menteri kewangan kini boleh dicabar dan dikaji semula melalui proses panel kajian semula dan seterusnya tribunal rayuan perolehan yang berkecuali.
“Tambahan pula, RUU itu turut memperkenalkan tindakan punitif atas sebarang pelanggaran dan Menteri Kewangan juga tidak terkecuali daripada akauntabiliti sekiranya gagal menzahirkan kepentingan atau campur tangan dalam proses perolehan,” katanya ketika menggulung RUU.
Amir berkata, keberkesanan penguatkuasaan tindakan punitif itu juga diperkukuh melalui mekanisme pemantauan yang teliti serta kerjasama erat antara Kementerian Kewangan dengan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata RUU itu tidak dibentangkan secara tergesa-gesa kerana usaha kerajaan untuk menggubalnya bermula sejak 2018 sebagai langkah reformasi institusi, namun tergendala seketika disebabkan pertukaran pentadbiran kerajaan pada 2020 sehingga November 2022.