
Tertuduh yang berusia 74 tahun itu juga membuat pengakuan sama atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM139 juta, lapor Utusan Malaysia.
Semua pertuduhan berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA bagi pihak Maju Holdings.
Abu Sahid yang dibenarkan berada di luar kandang tertuduh dengan berkerusi roda kerana menghadapi masalah kesihatan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Pertuduhan bagi kesalahan pecah amanah antara 2016 hingga 2019 dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM139 juta hasil aktiviti haram melalui pelbagai transaksi ke akaun bank individu dan syarikat, juga antara 2016 hingga 2019.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda minimum RM5 juta, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mencadangkan ikat jamin RM1.5 juta serta tertuduh menyerahkan passport kepada mahkamah.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah dan syarat berkenaan.
Hakim kemudian menetapkan ikat jamin pada RM1.5 juta dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 3 Nov.