
Beliau berkata kes mahkamah sedemikian perlu dilihat dalam konteks politik Malaysia lebih luas dengan mendakwa pertuduhan terhadapnya sering digunakan sebagai senjata melemahkan lawan.
“Pada pandangan saya, dakwaan terhadap Muhyiddin bermotifkan politik, satu usaha terancang kerajaan untuk melemahkan pembangkang.
“Corak pendakwaan terpilih ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya di Facebook mengulas keputusan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu semalam yang sebulat suara memutuskan untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.
Muhyiddin kini berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa ketika menjadi perdana menteri dan presiden Bersatu, di mana beliau didakwa meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu serta tiga syarikat.
Beliau juga dituduh atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Ramasamy berkata walaupun Muhyiddin telah didakwa, beliau masih belum disabitkan bersalah.
“Dari sudut undang-undang, beliau kekal tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.
Ramasamy turut menyifatkan pencalonan Muhyiddin oleh Bersatu sebagai sesuatu yang ‘logik dan strategik’.
“Kerjaya panjangnya sebagai menteri persekutuan dan kemudiannya perdana menteri memberinya kredibiliti sebagai calon paling berpengalaman untuk memimpin negara,” katanya.
Namun, sama ada rakyat Malaysia akan menerima Muhyiddin memandangkan kes mahkamahnya yang masih berjalan, masih belum dapat dipastikan, katanya.