
Beliau berkata, MCA perlu kekal setia kepada BN, tetapi “kesetiaan tidak bermakna berdiam diri”.
Ti yang mendesak pucuk pimpinan MCA membuat keputusan berhubung masa depannya dengan BN berkata, kesetiaan tanpa keberanian hanyalah kehambaan, yang tidak akan menang dalam pilihan raya.
“Saya akan terus mendokong perjuangan MCA dan BN – tetapi bukan dengan budaya bodek, bukan dengan sikap pak turut dan bukan dengan diam membisu,” katanya dalam catatan Facebook sambil menambah politik tidak dapat dikekalkan dengan kehadiran unsur ini.
Beliau turut meramalkan masa depan suram bagi MCA jika ia dilihat lemah atau bertolak ansur dengan budaya “budak suruhan”.
“Budaya ini mungkin menyeronokkan pemimpin atasan buat sementara, tetapi ia tidak akan memulihkan kredibiliti parti, apatah lagi mengembalikan relevan dan kekuatan BN yang sudah hilang popularitinya.”
Ti berkata demikian selepas Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mempertahankan pendekatan parti itu terhadap masa depannya dalam BN dan menyifatkan ia politik bertanggungjawab, bukannya “menembak kaki sendiri”.
Katanya, MCA perlu berunding dengan ahli di setiap peringkat sebelum membuat keputusan muktamad, selain memberi amaran terhadap tindakan melulu.
Neow turut menggesa Ti menawarkan penyelesaian membina, bukannya menimbulkan keraguan.
“Saya harap Ti akan lebih bertanggungjawab dan waras apabila menyatakan pendapat. Benar, setiap perbezaan harus diraikan, tetapi biarlah selaras dengan prinsip, nilai dan disiplin parti,” katanya dalam catatan Facebook semalam.
Ti berkata, beliau tidak pernah menggesa MCA meninggalkan BN, memetik tekanan terhadap parti itu untuk meninggalkan gabungan berkenaan selepas kalah dalam PRU 2018.
Katanya, beliau pernah meminta Presiden ketika itu, Liow Tiong Lai menolak gesaan sedemikian.
“Saya kemudiannya membuat kenyataan umum yang tidak popular, menegaskan bahawa MCA tidak akan keluar daripada BN kecuali ia dibubarkan secara kolektif.
“Pendirian itu saya pegang sehingga hari ini, meskipun berdepan risiko politik, sabotaj dan penolakan dalaman.”