Gempa di Segamat: RM550,000 baik pulih 15 bangunan kerajaan

Gempa di Segamat: RM550,000 baik pulih 15 bangunan kerajaan

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata kebanyakannya keretakan sedia ada yang mengalami pertambahan kuantiti retak susulan gegaran gempa.

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata 15 bangunan kerajaan di Segamat mengalami kerosakan berimpak kecil dan tidak menjejaskan integriti struktur bangunan. (Gambar Bernama)
SEGAMAT:
Sebanyak 15 bangunan kerajaan dikenal pasti mengalami kerosakan kecil dengan anggaran kos baik pulih berjumlah RM550,000 susulan gempa lemah yang melanda daerah itu pada 24 hingga 30 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, berkata laporan itu hasil pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat setakat 3 Sept lalu ke atas bangunan melibatkan Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah, sekolah dan kuarters kerajaan.

“Kebanyakannya adalah keretakan sedia ada yang mengalami pertambahan kuantiti retak susulan gegaran gempa, kerosakan berimpak kecil dan tidak menjejaskan integriti struktur bangunan.

“Bangunan ini juga masih selamat digunakan dan tidak menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna, dengan pengguna bangunan diingatkan sentiasa memantau keadaan sekeliling dan melaporkan kepada JKR sekiranya ada penemuan baharu,” katanya selepas mendengar taklimat berkaitan bencana itu dan melawat bangunan kerajaan mengalami kerosakan susulan gempa lemah.

Ahmad berkata, kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan peruntukan daripada kementerian terbabit dan JKR memberi sokongan teknikal bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

“Bilik Gerakan Bencana JKR juga diaktifkan serta-merta bagi memantau situasi 24 jam sehari sejak gempa pertama dilaporkan pada 24 Ogos lepas.

“JKR Segamat sedang memperincikan laporan serta cadangan kerja pembaikan, di samping meneruskan pemantauan rapi terhadap aset jalan dan jambatan.”

Selain bangunan, katanya, pemeriksaan mendapati tiada kerosakan dilaporkan pada aset jalan dan jambatan hasil pemantauan ke atas 325km jalan persekutuan, 242.11km jalan negeri, 71 jambatan dan jejantas dalam radius gempa bumi.

Menurutnya, faktor seismik diambil kira dalam reka bentuk bangunan kerajaan dan jambatan sejak penguatkuasaan MS EN 1998 National Annex pada September 2017.

“Bangunan dan jambatan baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dibina menggunakan bahan berkualiti tinggi serta direka bentuk mengikut tahap kegempaan di lokasi masing-masing.”

Beliau berkata, Pejabat Daerah Segamat menerima 62 laporan kerosakan kecil pada kediaman persendirian dan dua surau, namun anggaran kerugian belum diperincikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.