
Media melaporkan seorang pekerja lelaki berusia 22 tahun maut akibat tertimbus dalam runtuhan tanah ketika melakukan kerja menggali dan menanam paip di kawasan UMS kira-kira 1.30 tengah hari semalam.
Pusat Komunikasi Korporat UMS berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan segera menggerakkan Bahagian Keselamatannya, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan serta Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi membantu operasi awal serta menyelaras tindakan dengan pihak berkuasa.
“UMS juga telah berhubung dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Sabah berkaitan insiden ini dan sebagai langkah berwaspada, projek berkaitan dihentikan serta-merta sehingga siasatan pihak berkuasa selesai.
“UMS akan melaksanakan audit keselamatan menyeluruh terhadap semua projek sedang berjalan,” katanya menurut Sinar Harian.
Menurutnya, UMS amat berdukacita dengan insiden itu dan mengucapkan takziah serta simpati kepada keluarga mangsa.
“UMS melalui kontraktor akan memastikan bantuan dan sokongan sewajarnya disalurkan kepada keluarga mangsa.”
Tegasnya, keselamatan dan kesejahteraan warga kampus serta pihak terbabit projek sentiasa menjadi keutamaannya, serta ia komited memperkukuhkan pemantauan terhadap pematuhan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
UMS turut menyeru semua pihak menghormati sensitiviti keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga hasil siasatan rasmi diumumkan.