
Ketika ditanya pada sidang media sama ada wujud kem dalam parti itu susulan desakan lantang daripada perwakilan supaya beliau meletak jawatan, Muhyiddin berkata: “Tak ada kem A, kem B atau kem C.”
Terdahulu, suasana di Ideal Convention Centre (IDCC) yang pada awalnya tenang bertukar kecoh ketika Muhyiddin mengingatkan ahli mengikut perlembagaan parti, namun disambut perwakilan yang bangkit melaungkan rasa tidak puas hati, selain mendesaknya ‘letak jawatan’.
Keadaan menjadi tegang apabila perwakilan terbabit cuba menimbulkan kekecohan, namun ditenangkan beberapa perwakilan lain. Dalam keadaan kecoh itu juga terdapat beberapa perwakilan melaungkan slogan ‘hidup Tan Sri’ tanda sokongan kepadanya.
Mengulas insiden tersebut, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti apa yang berlaku kerana ketika itu sedang fokus berucap.
Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau akan meminta maklumat penuh mengenai insiden itu daripada pegawai keselamatan sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Saya tak tahu apa berlaku sebab saya di pentas tengah fokus beri ucapan. Tetapi saya bersyukur tak jejas ucapan saya (sebab) boleh teruskan (ucapan sehingga) selesai,” katanya memaklumkan secara umum perhimpunan hari ini berjalan lancar.