
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata suspek lelaki berusia 61 tahun ditahan 7 pagi tadi dan sebuah telefon bimbit miliknya dirampas.
“Semakan awal ke atas gajet tersebut mendapati suspek merupakan pemilik akaun Facebook ‘Amung Kamaruddin’ yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap pakar patologi terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, pakar dari Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu itu membuat laporan polis mengenai ancaman diterima daripada warganet susulan keterangannya dalam inkues kematian Zara di Mahkamah Koroner.
Kes disiasat bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jauteh menasihatkan orang ramai sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kententeraman awam serta keresahan masyarakat.
Pada 4 Sept dalam inkues kematian Zara, pakar tersebut menyerahkan kepada Mahkamah Koroner menentukan sama ada pelajar Tingkatan 1 itu terjun dari asrama atas kehendak sendiri atau sebaliknya.
Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Ram Singh mengenai kemungkinan remaja 13 tahun itu melompat sendiri dari lokasi kejadian.
Sebelum itu, Jessie menolak kemungkinan Zara ditolak atau diserang hingga jatuh dari tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri bawah bangunan pada awal pagi, 16 Julai lalu.
Jessie berkata, besar kemungkinan mangsa melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama, lapor Harian Metro.