
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berpendapat, sangat sukar untuk parti bukan Melayu kecil membuktikan ‘taring politik’ bahkan menyumbang kerusi dalam julat sedemikian kerana tidak mempunyai struktur mahupun sokongan akar umbi yang kuat.

“Parti-parti bukan Melayu kecil cenderung hanya bertanding di beberapa kawasan dan tidak memiliki pengaruh nasional yang luas.
“Maka, jumlah undi tambahan melalui mereka mungkin terbatas dan tidak signifikan dalam usaha menambah 15 hingga 22 kerusi itu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Gerakan yang gagal meraih sebarang kerusi Parlimen atau DUN pada PRU15 turut terbukti dengan hanya ‘mengikut PN’ tidak menjanjikan kejayaan dalam pilihan raya.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata imej PN yang masih kuat sebagai gabungan Melayu-Islam mungkin mengekang potensi mereka ‘menjual’ kepada pengundi bukan Melayu secara besar-besaran.
“Tanpa penambahbaikan serius dalam imej retorik, platform inklusif yang jelas, dan peningkatan kekuatan akar umbi parti bukan Melayu itu sendiri, realisasi sasaran tersebut sangat mencabar,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata unjuran tersebut logik dengan andaian semua atau 100% penyokong parti pembangkang bukan Melayu mengundi PN.
“Namun, hakikatnya pandangan Melayu dan Islam yang begitu ekstrem pada PN mungkin menyebabkan tidak semua penyokong yang ada dalam gabungan parti pembangkang itu selesa dengan PN.
“Mungkin mereka lebih selesa dengan Pakatan Harapan (PH) yang ada PKR dan DAP,” katanya.
Dalam temu bual Sinar Harian kelmarin, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata unjuran menunjukkan PN boleh menambah sokongan sebanyak 2% hingga 5% jika ia mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru, dan meluaskan daya tarikan kepada lebih banyak komuniti.
Muhyiddin mengakui PN sering dilihat sebagai ‘Melayu-Muslim sahaja’ dan sukar untuk menghilangkan persepsi ‘ekstremis’, namun usaha sedang giat dijalankan untuk menunjukkan gabungan itu sederhana tetapi tegas dalam perjuangannya.
Ketika ini sebanyak 68 kerusi PN di Dewan Rakyat diduduki PAS (43) dan Bersatu (25).