Muhyiddin malu, kecewa himpunan Bersatu kecoh, kata Hilman

Muhyiddin malu, kecewa himpunan Bersatu kecoh, kata Hilman

Ketua Pemuda berkata perkara itu dinyatakan sendiri presiden dalam kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi.

Ketua Armada Bersatu Hilman Idham Bersatu
Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham, berkata insiden kecoh ketika Presiden Muhyiddin Yassin berucap mencemarkan imej parti.
SHAH ALAM:
Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham mendedahkan Presiden Muhyiddin Yassin malu dan kecewa susulan kekecohan ketika beliau menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-8, semalam.

Hilman berkata, perkara itu dinyatakan sendiri Muhyiddin dalam kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Muhyiddin menyatakan ia amat memalukan dalam kumpulan WhatsApp MPT. Kita telah mengecewakan beliau,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir perhimpunan tersebut di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Menurutnya, insiden tersebut juga disifatkan mencemarkan imej parti.

“Apa yang berlaku malam tadi tidak boleh dinafikan. Media turut menyaksikan segalanya. Kita ada tanggungjawab kerana nama keluarga kita telah tercemar. Maka, kita perlu terus mempertahankan nama baik Bersatu,” katanya.

Beliau turut berkongsi kesan peribadi dialaminya susulan insiden berkenaan.

“Selepas kejadian itu, saya pergi ke restoran untuk minum. Saya beritahu rakan-rakan saya tidak dapat menahan kesedihan kerana kita telah melukai hati presiden sehingga beliau terpaksa menghantar mesej dalam kumpulan WhatsApp,” katanya.

Semalam, suasana di IDCC pada awalnya tenang bertukar kecoh ketika Muhyiddin mengingatkan ahli mengikut perlembagaan parti, namun disambut perwakilan yang bangkit melaungkan rasa tidak puas hati, bersama laungan ‘letak jawatan’.

Keadaan menjadi tegang apabila perwakilan terbabit cuba menimbulkan kekecohan, namun ditenangkan beberapa perwakilan lain.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin menyeru semua perwakilan kembali fokus kepada matlamat asal berdepan PRU16, di sebalik kekecohan pada perhimpunan semalam.

Beliau berkata, fokus utama Bersatu adalah untuk menurunkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kita ada matlamat lagi besar. Jangan jadikan kekecohan semalam sebagai gangguan untuk menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.